TAN (kiri) dan Cheong menjadi penerima biasiswa Yayasan MR DIY.
TAN (kiri) dan Cheong menjadi penerima biasiswa Yayasan MR DIY.

Kuala Lumpur: Yayasan MR DIY melancarkan program biasiswa pertamanya, menyediakan sokongan yang amat diperlukan kepada rakyat Malaysia yang mencari bantuan kewangan dalam usaha mereka melanjutkan pengajian.

Program Biasiswa Yayasan MR DIY bertujuan menyokong mahasiswa dan mahasiswi yang layak dengan rekod akademik, kepimpinan, dan perkhidmatan masyarakat yang cemerlang dengan mengurangkan beban kewangan mereka.

Yayasan itu mengumumkan dua penerima pertamanya iaitu Cheong Wai Kee, yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) bagi Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan, dan Tan Zhi Liang, yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kepujian) dalam bidang Perakaunan. Kedua-duanya adalah pelajar semester keempat dan semester kedua di kampus Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar, Perak.

Mengumumkan pelancaran program biasiswa tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan MR DIY, Zaleha Mohd Mydin berkata, di Yayasan MR DIY, pihaknya percaya dengan kuasa transformasi pendidikan, dan komited untuk memberi peluang kepada pelajar yang berbakat untuk merealisasikan potensi mereka.

"Program biasiswa ini menyediakan bantuan kewangan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mempamerkan kecemerlangan akademik yang tinggi, keupayaan kepemimpinan, dan dedikasi tinggi dalam khidmat masyarakat.

"Cheong Wai Kee dan Tan Zhi Liang mempunyai kesemua kualiti yang kami cari dan kami berharap pengiktirafan dan sokongan dari Yayasan MR DIY ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia di Malaysia untuk berusaha meraih kejayaan yang sama.

"Matlamat kami mewujudkan impak positif kepada kehidupan belia di Malaysia, memperkasakan mereka untuk menjadi pemimpin dan pencetus perubahan yang seterusnya menghasilkan impak kepada negara dan masyarakat kita untuk generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 8:46 AM