Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Wanita berusia 25 tahun dan sarat mengandung lapan bulan antara empat penumpang yang parah apabila bas persiaran dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 47, Jalan Gua Musang-Jeli dekat Kampung Meranto, di sini, 3.15 pagi tadi.

Turut mengalami cedera ringan adalah tiga lagi penumpang bas itu dan kesemuanya dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk rawatan.

Ketika kejadian bas terbabit yang memuatkan 33 penumpang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Wangi, di sini, dari Perlis.

Semua penumpang itu yang juga warga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Wangi dikatakan baru pulang daripada bercuti di Pulau Langkawi sejak Khamis lalu.

Difahamkan ketika kejadian bas itu cuba memotong sebuah lagi bas persiaran yang membawa warga KRT kawasan sama, namun hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik dalam parit.

Sebelum kejadian, penumpang mendakwa pemandu pertama bas memberitahu kenderaan itu mempunyai masalah brek, namun pemandu kedua yakin dapat memandu dengan selamat.

Ketua Polis Daerah Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 2:29 PM