SIK Choon Foo menyantuni perantau yang masuk ke daerah Gua Musang untuk pulang ke kampung. FOTO Paya Linda Yahya
SIK Choon Foo menyantuni perantau yang masuk ke daerah Gua Musang untuk pulang ke kampung. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Perantau yang ingin pulang ke kampung melalui daerah ini, boleh menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak kenderaan yang akan memasuki daerah ini, memandangkan cuti perayaan sudah bermula.

"Selain jalan utama Gua Musang-Kuala Krai, perantau boleh menggunakan jalan alternatif Gua Musang-Jeli dan bagi yang masih berada di Kuala Lumpur boleh menggunakan laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands-Gua Musang-Jeli.

"Jadi saya cadangkan kepada perantau, mereka boleh menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan walaupun perjalanan akan mengambil masa agak lama.

"Kita juga turut menasihatkan perantau supaya berhati-hati melalui tujuh kawasan kerap kemalangan seperti di Jalan Persiaran Raya, Kilometer (KM) 20-35 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, KM56-58 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, KM61-70 Jalan gua Musang-Kuala Krai, KM11-14 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, KM20- 22 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan KM48-56 Jalan Gua Musang-Lojing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sebanyak 250 pek makanan kepada perantau pada program Op Selamat 18 sempena Aidilfitri di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Tanah Putih, di sini, semalam.

Program itu turut disertai agensi keselamatan seperti polis, JPJ, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kelab Lion Gua Musang.

Beliau berkata terdapat sembilan kes kemalangan kecil yang tidak membabitkan kecederaan parah dan kehilangan nyawa pada hari pertama Op Selamat 18 dilancarkan.

"Kejadian itu berlaku kerana kecuaian sehingga menyebabkan kemalangan kecil seperti langgar kenderaan di hadapan.

"Kami nasihatkan kepada pemandu, supaya lebih berhati-hati dan dapatkan rehat secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 9:34 AM