Jabatan Kerja Raya (JKR) membina jalan lencongan di laluan Dabong-Jeli dekat Kubur Datu bersebelahan Jambatan Bailey bagi membolehkan laluan berkenaan dibuka kepada dua hala. Jalan alternatif berkenaan mula dibuka kepada orang ramai semalam. FOTO Ihsan JKR
Jabatan Kerja Raya (JKR) membina jalan lencongan di laluan Dabong-Jeli dekat Kubur Datu bersebelahan Jambatan Bailey bagi membolehkan laluan berkenaan dibuka kepada dua hala. Jalan alternatif berkenaan mula dibuka kepada orang ramai semalam. FOTO Ihsan JKR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memaklumkan pembinaan jalan kekal di laluan Dabong-Jeli di Kubur Datu yang mengalami runtuhan Januari lalu tidak dapat disiapkan sebelum Aidilfitri.

Pengarahnya, Ir Mohd Suhaili Ismail, bagaimanapun berkata laluan di lokasi berkenaan tetap dibuka kepada dua hala bermula semalam selepas laluan alternatif iaitu jalan lencongan dibuat dilakukan pihaknya.

"Memandangkan pembinaan jalan kekal tidak dapat disiapkan sebagaimana jadual dan orang ramai kini menggunakan Jambatan Bailey, kita mengambil alternatif dengan membina jalan lencongan bersebelahan lokasi berkenaan.

"Dengan adanya lencongan berkenaan, kawasan itu tetap boleh dilalui dua hala iaitu melalui Jambatan Bailey dan lencongan.

Jalan lencongan sudah dibuka untuk orang ramai mulai semalam" katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, JKR menyarankan sebahagian daripada perantau menggunakan laluan FT04 iaitu jalan Gua Musang-Jeli sebagai laluan penyuraian trafik pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Pemandu yang menghala ke Rantau Panjang, Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat, dinasihatkan supaya menggunakan laluan terbabit bagi menampung jangkaan pertambahan mendadak kenderaan yang memasuki negeri ini melalui jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula hari ini.

Mengulas mengenai pembinaan jalan kekal, Suhaili mengakui turut kesal apabila tidak dapat disiapkan mengikut jadual.

"Fasa reka bentuk kajian untuk pembinaan jalan kekal itu mengambil masa yang lama kerana kita tidak mahu kejadian sama berulang.

"Disebabkan itu memandangkan Aidilfitri, kita membina lencongan di sebelah Jambatan Bailey bagi membolehkan laluan itu dilalui dua hala.

"Justeru, orang ramai tidak perlu risau untuk melalui jalan Gua Musang-Jeli sebagaimana yang disarankan. Cuma kita minta kesabaran dari pemandu semasa melalui lokasi ini kerana kenderaan akan sedikit perlahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 2:02 PM