Keadaan Bas ekspress hang terbabas di KM 24 Jalan Gua Musang- Kuala Krai, berhampiran Shell Rantau Manis tengah malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Keadaan Bas ekspress hang terbabas di KM 24 Jalan Gua Musang- Kuala Krai, berhampiran Shell Rantau Manis tengah malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seorang penumpang cedera ringan, manakala 13 yang lain termasuk dua pemandu terselamat apabila bas ekspres dinaiki mereka terbalik di cerun selepas terbabas di Kilometer 24 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira 12.15 tengah malam apabila bas berkenaan hilang kawalan ketika melalui jalan licin.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika lelaki berusia 29 tahun sedang memandu bas ekspres berkenaan dari Kota Bharu menuju ke Kuantan, Pahang menggunakan jalan Gua Musang kemudian ke arah Lebuhraya Karak.

"Bagaimanapun, laluan bas terpaksa ditukar menggunakan laluan biasa iaitu Jalan Kuala Terengganu disebabkan banjir.

"Apabila tiba di tempat kejadian, bas ekspres terbabit dipercayai hilang kawalan ke sebelah kiri jalan menuju ke Gua Musang kemudiannya terbalik di cerun," katanya.

Menurutnya, seorang penumpang yang cedera ringan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan susulan.

Katanya, bas ekspres berkenaan mengalami kerosakan teruk dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 1:27 PM