RONALDO (kanan) kembali daripada rehat seminggu.
RONALDO (kanan) kembali daripada rehat seminggu.
AFP

Lisbon: Cristiano Ronaldo menyertai skuad Portugal semalam menjelang Euro 2016 selepas diberikan pengecualian selama seminggu susulan kejayaan Real Madrid menjuarai Liga Juara-Juara.

Empat hari sebelum ketibaan Portugal di Perancis, Ronaldo dan rakan sepasukan di Madrid, Pepe dijadualkan menjalani latihan bersama skuad kendalian Fernando Santos di pusat latihan yang terletak di luar Lisbon.

Ronaldo tidak bersama ketika negaranya tewas 0-1 kepada England di Wembley dalam aksi persahabatan minggu lalu kerana diberikan tempoh pemulihan berikutan musim yang panjang.

Gambarnya dirakam sedang menikmati percutian di atas kapal layar di Ibiza, kepulauan Balearic Sepanyol.

Pemain berusia 31 tahun itu kelihatan letih ketika final Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid di Milan, walaupun menjaringkan gol penting dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Ronaldo turut bergelut dengan masalah kecergasan beberapa minggu kebelakangan ini namun dijangka beraksi menentang Estonia untuk aksi persahabatan terakhir esok, dua hari sebelum Euro 2016 bermula.

Portugal akan berdepan Iceland di Saint-Etienne dalam aksi pembukaan Kumpulan F pada 14 Jun. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:03 AM