Hafiz terpaksa batal banyak persembahan sejak dimasukkan ke wad. FOTO HAFIZ HAMIDUN
Hafiz terpaksa batal banyak persembahan sejak dimasukkan ke wad. FOTO HAFIZ HAMIDUN
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Berat badan penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun susut sebanyak lapan kilogram selepas dua minggu ditahan di sebuah pusat perubatan, di sini, akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Hafiz, 32, berkata, dia bagaimanapun masih perlu mendapatkan rawatan susulan dua kali sehari selepas dibenarkan keluar hospital sejak Khamis lalu.

"Empat hari pertama di hospital saya okay lagi, tetapi selepas lebih seminggu rasa sakit sangat. Setiap hari tubuh saya perlu dimasukkan ubat hingga selera makan pun kurang.

"Saya hanya mengambil makanan sedikit sebagai syarat untuk makan ubat. Saya perlu menjalani rawatan susulan untuk tempoh seminggu lagi,€ katanya.

Hafiz yang juga ahli perniagaan berkata, sejak dimasukkan ke wad dia terpaksa membatalkan banyak persembahan dan program TV membabitkannya.

Menurutnya, buat masa sekarang dia masih belum dibenarkan bekerja memandangkan kondisi tubuhnya yang masih lemah.

Bercerita mengenai penyakit yang dihidapinya, Hafiz berkata, ia berpunca selepas dijangkiti demam panas selama seminggu, bulan lalu.

Tindakannya dengan membiarkan demam berterusan lebih dua hari mengundang padah apabila dia disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Disebabkan kesihatannya yang belum pulih dan perlu mendapatkan rawatan, Hafiz dinasihatkan doktor supaya tidak berpuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:22 PM