AFP

Toulouse, Perancis: Gareth Bale menyatakan nasib Wales di Euro 2016 terletak di tangan mereka, tatkala mereka dilihat mempunyai potensi untuk layak ke pusingan kalah mati menjelang aksi berisiko tinggi menentang Russia di Toulouse.

Penyerang Real Madrid itu ternyata memberi inspirasi besar buat Wales dalam penampilan sulung mereka di Euro, apabila menjaringkan gol ketika mengalahkan Slovakia 2-1 sebelum tewas 1-2 kepada England di Lens.

Wales kini berada di tempat kedua Kumpulan B, satu mata di belakang pendahulu England tetapi tetap mempunyai cita-cita untuk mencatat sejarah mara ke pusingan kalah mati.

Kemenangan di Toulouse, yang mana kawalan keselamatan diperketatkan berikutan pergaduhan antara penyokong England dan Russia di Marseille minggu lalu, akan memastikan tempat buat Wales walaupun mereka tumpas Wales masih mampu layak untuk menjadi empat pasukan yang berada di tempat ketiga terbaik dalam kumpulan.

Bale, yang melakukan jaringan menerusi sepakan percuma menentang Slovakia dan England berada sebaris dengan penjaring terbanyak kejohanan selepas dua perlawanan, mengakui tumpas kepada England melalui jaringan masa kecederaan Daniel Sturridge sukar untuk dilupakan.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu berkata, rakan sepasukannya bersemangat tinggi dan bersedia untuk merealisasikan impian mereka.

“Sebenarnya selepas pertemuan dengan England kami amat kecewa terutama tewas dengan cara sebegitu.

“Bagaimanapun, kami harus melupakannya. Semuanya sudah berakhir. Nasib kami berada di tangan kami sendiri. Kami begitu teruja untuk beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Semua mahu bermain dan seluruh negara berada di belakang kami, ia perkara normal dan kami sudah bersedia.

“Kami akan cuba untuk memberikan aksi terbaik dan melayakkan diri ke pusingan kalah mati,” jelas Bale.

Selepas hanya memungut satu mata, berikutan jaringan penyamaan minit akhir Vasili Berezutski ketika menentang England, Russia yang dikendalikan Leonid Slutski dilanda masalah apabila tumpas 1-2 kepada Slovakia.

Ia menyebabkan mereka berada di tangga terbawah dan perlu mengalahkan Wales untuk membuka peluang kembali bersaing di Euro selepas dilanda kontroversi dalam tempoh seminggu dari pasukan hingga ke penyokong.

Kempen mereka diburukkan sebelum sepak mula lagi apabila keganasan penyokong tercetus di Marseille, apabila ultras Russia menyerang penyokong England sejam sebelum sepak mula.

Selepas itu penyokong England diserang sekali lagi sebelum wisel penamat di Stade Velodrome, bermakna Russia kini berjalan di atas tali halus.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memberi amaran jika peristiwa itu berulang di Stadium Toulouse mereka mungkin akan disingkirkan dari Euro 2016 tanpa mengira keputusan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 10:44 AM