GELAGAT peserta ketika memasuki kawasan pekan.
GELAGAT peserta ketika memasuki kawasan pekan.
SUASANA ketika peserta dilepaskan.
SUASANA ketika peserta dilepaskan.
Mohd Azam Shah Yaacob


Terik mentari ‘menyengat’ tubuh tidak melemahkan semangat 448 peserta perlumbaan King Of Mountain Peras (KOM PERAS 2016) untuk menakluk Genting Peras, Negeri Sembilan yang berketinggian 524 meter.

Biarpun ketinggian berkenaan nampak tidak begitu ketara, bagi yang pernah berkayuh di kawasan itu, Genting Peras yang juga dikenali sebagai Genting Perez mempunyai cabarannya tersendiri.

Biarpun ada dua laluan rata yang membuat sesiapa saja teruja, perasaan itu akan hilang sebaik menempuh laluan berbukit sejauh 9.5 kilometer menuju puncak Genting Peras.

Di laluan itulah kekuatan mental dan fizikal peserta teruji. Peserta tidak sekadar mengerah kudrat untuk mendaki, malah perlu cekal menahan bahang daripada laluan bertar yang membuatkan semangat cepat pudar. Hanya kudrat dan semangat menjadi penentu. Jika silap teknik berkayuh, alamatnya terpaksalah menolak basikal.

Namun, menerusi KOM PERAS, semua peserta tidak mempunyai masalah menamatkan kayuhan biarpun terpaksa bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman termasuk dari luar negara.

Diadakan dalam perlumbaan basikal jalan raya (Road Bike) dan basikal bukit (Mountain Bike), KOM PERAS julung kali dianjurkan Majlis Perbandaran Kajang dengan kerjasama Tourism Selangor, Dusun Tua Cycling Team, Twitter Bike dan CM Bike Centre.

Sembilan kategori dipertandingkan membabitkan tiga bagi perlumbaan basikal jalan raya dan enam bagi perlumbaan basikal bukit.

Menerusi perlumbaan ini, semua pelumba bagi dua jenis perlumbaan berkongsi trek sama membabitkan jalan raya sejauh 34 kilometer.

Pengerusi KOM Dusun Tua 2016, Mohd Shari Md Noor berkata, KOM Peras tidak sekadar merancakkan lagi aktiviti berbasikal tempatan, juga sebagai medium untuk mempromosikan pelancongan di Hulu Langat.

Atas faktor itu, katanya, sebanyak dua konsep perlumbaan dijalankan membabitkan perlumbaan basikal bukit dan perlumbaan basikal jalan raya dalam usaha meningkatkan promosi.

“Bagi mempromosi Hulu Langat, kita fokus pada aktiviti sukan berbasikal. Ini kerana, Hulu Langat tidak hanya mempunyai kawasan menarik dengan pemandangan indah juga mempunyai laluan dan rupa bentuk muka bumi sesuai untuk aktiviti berbasikal sama ada bagi jenis basikal jalan raya mahu pun basikal lasak,” katanya.

Menurutnya, menerusi KOM PERAS, semua pelumba akan menempuh trek yang sama sehingga ke kawasan penamat di puncak Genting Peras.

“Dalam perlumbaan ini, biarpun kita pecahkan kepada dua jenis perlumbaan dengan sembilan jenis kategori, \semuanya akan bersaing di atas satu laluan yang sama sejauh 34km.

“Biarpun 100 peratus laluan adalah berturap, halangan utama peserta adalah kawasan bukit menuju ke Genting Peras.

“Di kawasan inilah kekuatan sebenar peserta akan diuji,” katanya.

Mohd Shari berkata, sebagai merancakkan lagi aktiviti sukan berbasikal, pihaknya juga mewujudkan satu kategori khas iaitu kategori Heavyweight menerusi perlumbaan basikal bukit bagi individu yang mempunyai berat 90 kilogram ke atas.

“Sengaja kita wujudkan kategori ini kerana sebagai cara untuk menarik individu yang berbadan besar untuk ikut serta.

“Pada masa yang sama, kita harapkan peserta kategori ini akan terus aktif dengan aktiviti berbasikal untuk masa-masa akan datang dan menjadi pencetus semangat untuk mereka berbasikal,” katanya.

Menerusi KOM PERAS, sebanyak RM7,500 hadiah wang tunai ditawarkan kepada 10 pemenang tempat pertama bagi setiap kategori. Manakala bagi kategori Heavyweight pula, hadiah ditawarkan bagi lima peserta pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 5:02 AM