PESERTA ketika merentas laluan berpasir.
PESERTA ketika merentas laluan berpasir.
PESERTA bergambar bersama-sama ketika berjaya menawan laluan Bukit Kapar.
PESERTA bergambar bersama-sama ketika berjaya menawan laluan Bukit Kapar.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Apa saja laluan, daripada berlumpur, bersemak samun, berpasir, berbatu atau berbukit, ia bukan halangan besar buat peminat sukan Fat Bike.

Biarpun kadangkala terdengar geseran tayar yang cuba mencengkam laluan ketika menuruni bukit, ia bukan satu masalah kepada kumpulan basikal ‘tayar gergasi’ ini kerana ia memang direka untuk lasak.

Buktinya, seramai 30 peserta berjaya menguji jentera basikal tayar ‘gergasi’ milik mereka dalam Kayuhan Fat Bike Day 2015 yang diadakan sempena Kayuhan Global Fat Bike Day di seluruh dunia.

Mengambil tempat Bukit Kapar, Klang, Selangor sebagai medan ujian lasak, kayuhan ajuran Team Fat Bike Malaysia (TFBM) ini memerlukan peserta mengharungi jarak 23 kilometer laluan mencabar membabitkan jalan bertar, jalan tanah merah, berbatu dan laluan sempit ladang kelapa berpasir.

Nyata, kemampuan basikal ini bukan saja terserlah pada kerangkanya yang dihiasi sepasang roda gergasi, sebaliknya kemampuan meredah laluan berkenaan dengan cukup mudah.

Permulaan kayuhan santai pada jam 8 pagi ini cukup mengasyikkan tatkala roda menghasilkan alunan garang ketika bergerak di jalan bertar.

Bunyi geseran umpama memandu pacuan empat roda di atas jalan raya ini menghasilkan alunan garang yang bagaikan memberitahu bahawa kumpulan basikal ini akan menakluk laluan lasak Bukit Kapar.

Malah, sebaik memasuki laluan berbatu dan berpasir, rentak kayuhan bertukar lebih rancak dan melenyapkan tanggapan basikal berkenaan berat dan membebankan.

Buktinya, kumpulan ini dengan mudah menakluk laluan berkenaan yang turut disertai peserta paling muda berusia 8 tahun, Norayrel Haiqal Mohamed Johan yang berjaya menamatkan kayuhan sama seperti peserta lain.

Presiden TFBM, Azinuddin Che Mud berkata, kayuhan itu sengaja diadakan bagi menghimpunkan peminat sukan Fat Bike di negara ini dan mewujudkan satu komuniti baru.

Katanya, biarpun aktiviti sukan berbasikal kategori Fat Bike masih baru, namun ia sudah lama terkenal di luar negara.

“Kalau di luar negara, kategori ini memang mendapat sambutan hangat dan mempunyai program atau perlumbaan khusus mereka sendiri.

“Di negara ini juga, memang ada kumpulan kategori Fat Bike tetapi masih dalam skala kecil. Disebabkan itu, ada peserta yang terpaksa ikut serta dalam kayuhan, jambori atau perlumbaan kategori Mountain Bike (MTB).

“Jadi, kayuhan kali pertama ini adalah untuk menghimpunkan kumpulan ini seterusnya membentuk satu komuniti berbasikal baru,” katanya.

Azinuddin berkata, kayuhan yang diadakan ini se­ngaja diadakan dalam bentuk santai berikutan ia penganjuran kali pertama di negara ini.

“Berdasarkan kayuhan ini, kita melihat peserta berpuas hati berikutan ia adalah acara pengenalan saja.

“Tiada yuran dikenakan malah kami menyediakan jamuan percuma kepada mereka yang menyertai. Harapan kami, komuniti Fat Bike dapat dikembangkan dan akhirnya diadakan perlumbaan atau aktiviti khusus bagi peminat Fat Bike,” katanya.

Menurut Azinuddin, pihaknya bercadang merangka lebih banyak kayuhan bagi kategori Fat Bike dan tidak menolak ia bakal menjadi aktiviti sukan berbasikal popular di negara ini pada masa akan datang.

“Kebiasaannya bila orang nampak basikal ini mereka beranggapan ia berat dan sukar dibawa. Itu cuma pandangan luaran sebab yang besar hanya tayarnya yang dicipta lebar. Tetapi ia cukup ringan untuk dikayuh sama seperti basikal jenis MTB.

“Malah, boleh dikatakan dalam aspek pengendalian di laluan lasak, Fat Bike lebih baik daripada MTB berikutan ia mencengkam lebih baik ketika menuruni bukit, lebih seimbang dan lebih ringan apabila merentas laluan berlumpur, berselut atau bersemak samun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:01 AM