Palembang: Walaupun mengakui prestasinya tidak berada pada tahap terbaik, atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin (gambar) tetap menyimpan hasrat membawa pulang emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) edisi ke-17.

“Saya tidak bimbang jika ditakdirkan gagal memecahkan rekod kebangsaan (54.26 meter). Cukup jika saya dapat menang emas. Saya mahu hadiahkan pingat itu buat negara.

“Saya masih dalam proses menguatkan otot dan tidak mahu merosakkan semua perancangan dengan terburu-buru mahu memecahkan rekod kebangsaan. Emas sudah memadai, tapi jika ia disertai rekod baru, pasti lebih seronok.

“Sasaran utama saya adalah Kejohanan Remaja Dunia tahun depan dan disebabkan siri latihan menguatkan otot yang saya jalani, saya tidak berani mahu mengatakan saya berada pada tahap terbaik,” katanya.

Penuntut jurusan Sains Sukan Universiti Malaya itu sedar saingan yang akan dihadapinya di Palembang kali ini pasti sengit dan dia memilih atlet Thailand serta Indonesia sebagai pesaing utamanya.

“Walaupun banyak negara menghantar ramai atlet baru, saya tidak memandang remeh dan tetap akan melakukan yang terbaik pada saingan sebenar untuk membantu kontinjen negara mengekalkan kejuaraan keseluruhan dimenangi dua tahun lalu di Laos,” katanya.

Atlet berusia 19 tahun dari Negeri Sembilan itu antara pilihan untuk menyinar pada temasya kali ini dan olahraga akan bermula pada 12 Disember di Kompleks Sukan Jakabaring.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 7:33 AM