TIA’A FAANG DER
TIA’A FAANG DER
Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

IPOH: Renang menjadi sukan pertama yang berjaya meleburkan rekod kebangsaan pada Sukan Malaysia (SUKMA) apabila Tia’A Faang Der melakar rekod baharu kebangsaan acara 400 meter rampaian individu lelaki di Pusat Akuatik Tuanku Zara, hari ini.

Lebih manis, catatan 4 minit 30.48 saat (s) yang dilakukan perenang kebangsaan dari Johor itu bukan sahaja meleburkan rekod kebangsaan tetapi juga menewaskan pemiliknya, Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan (4:30.85s) yang dilakukannya pada Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Kuala Lumpur Julai lalu.

Catatan itu juga meleburkan rekod temasya 4:34.14s milik Die Uang Manggan yang dilakukannya pada temasya Sabah 2002.

“Saya sendiri tak sangka boleh lakukan masa macam tadi sekali gus memecahkan rekod kebangsaan kerana saingan sengit, malah sasaran saya sekadar memperbaiki catatan peribadi terbaik yang dilakukan empat tahun lalu iaitu 4:32.49s

“Biarpun dapat memecahkan rekod kebangsaan hari ini, ia bukanlah masa untuk meraikannya kerana saya masih belum boleh berehat kerana misi saya adalah memecahkan rekod peribadi terbaik saya dalam acara 200m kuak kupu-kupu Rabu ini (catatan peribadi 200m kuak kupu-kupu 2:01.04s).

“Catatan peribadi terbaik itu saya lakukan ketika memenangi perak pada Sukan SEA tahun lalu,” kata perenang berusia 20 tahun itu.

Perak acara itu dimenangi Sebastian dengan catatan 4:40.79s sementara gangsa milik Arvin Shaun Singh dari Terengganu (4:33.01s).

Faang Der mengakui kejayaan itu juga dicapai dengan bantuan bekas ketua jurulatih renang kebangsaan, Paul Birmingham yang baru meninggalkan skuad kebangsaan selepas Sukan Asia Jakarta-Palembang, baru-baru ini.

“Saya gembira apabila dapat mendahului saingan sejak 100m perlumbaan dan mengakhirinya dengan rekod kebangsaan pada temasya kali ini,” katanya mengenai pingat emas keempat yang dikumpulnya sejak penyertaan temasya 2012 di Pahang.

Sebelum ini, Faang Der memenangi satu emas pada Pahang 2012 dan dua emas di Sarawak dua tahun lalu.

Pada hari pertama sukan renang dipertandingkan pada SUKMA hari ini menyaksikan Selangor mendominasi kolam renang dengan membolot lima daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Untuk rekod, kontinjen Selangor mendominasi renang pada temasya dua tahun lalu dengan membawa pulang 20 emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 9:12 PM