PEGAWAI Jabatan Perhutanan memeriksa lori yang ditahan di Kampung Seberang Sungai, Lunas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
PEGAWAI Jabatan Perhutanan memeriksa lori yang ditahan di Kampung Seberang Sungai, Lunas. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dua lelaki ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah kerana mengangkut kayu hutan dianggarkan bernilai RM20,000 tanpa pas pemindah kayu dalam dua kes berasingan di Kulim.

Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Mohd Rahim Ramli berkata, seorang pemandu lori berusia 29 tahun itu ditahan selepas gagal menunjukkan pas pemindah kayu yang diangkutnya pada 8.40 pagi semalam di Kampung Kubang Semang, Kulim.

Menurutnya, ketika pemeriksaan lelaki itu mengangkut kayu terap dan mempisang sebanyak 61 batang yang dianggarkan bernilai RM10,000.

“Dalam satu lagi kes seorang kelindan lori berusia 32 tahun ditahan atas kesalahan sama di Kampung Seberang Sungai pada 8 malam, Selasa lalu.

“Ketika ditahan lelaki terbabit mendakwa pemandu lori itu melarikan diri dan 52 batang kayu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 dirampas,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Perhutanan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggaran cukai bagi keseluruhan kayu itu kira-kira RM300 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara( APN) 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 4:47 PM