BALAK yang dirampas selepas penahanan lori dekat Rompin, kelmarin.
BALAK yang dirampas selepas penahanan lori dekat Rompin, kelmarin.
Mohd Rafi Mamat


MENEBANG balak pada malam dan memindahkannya pada sebelah pagi, dipercayai modus operandi sindiket yang mengeluarkan hasil hutan secara haram di Rompin.

Kegiatan itu terbongkar selepas penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin menahan lori membawa muatan pelbagai jenis balak bernilai lebih RM5,000 di Jalan Muadzam Shah-Segamat, kelmarin.

Pegawai Hutan Daerah Rompin Shairani Mamat berkata, pihaknya mengejar lori berkenaan sejauh tiga kilometer sebelum berjaya dipintas untuk pemeriksaan.

“Pemandu lori gagal menunjukkan pas memindah hasil hutan dan siasatan mendapati ia mengangkut keluar balak 2.4 meter panjang jenis bintangor, kelat, geronggang, medang, kempas dan mata ulat ke kilang di negeri jiran.

“Lori itu tidak berhenti untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Perhutanan (PPP) Keratong menyebabkan anggota mengesannya dan pemandu lori berusia 30 tahun menyedari kesalahan dilakukan,” katanya, hari ini.

Shairani berkata, pihaknya kini giat mengesan lokasi penebangan balak itu dan jumlah sebenar pokok yang musnah.

Katanya, tidak menolak kemungkinan kumpulan sindiket itu berpengalaman melakukan aktiviti penebangan pada waktu malam dan memindahkan balak pada sebelah pagi bagi mengelak dikesan.

“Pemandu lori diambil ketererangan dan kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara (APN) 1984,” katanya yang mempergiatkan penguatkuasaan mengekang kegiatan pembalakan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 11:57 AM