BALAK pendek dirampas anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Daerah Selatan Kedah petang semalam. FOTO Jabatan Perhutanan
BALAK pendek dirampas anggota penguat kuasa Jabatan Perhutanan Daerah Selatan Kedah petang semalam. FOTO Jabatan Perhutanan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perhutanan Kedah menahan seorang lelaki dan merampas balak selepas disyaki mengangkut balak tanpa cukai dengan nilai kira-kira RM10,000 termasuk cukai, petang semalam.

Timbalan Pengarahnya (Operasi) Mohd Rahim Ramli berkata, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan ketika sepasukan penguat kuasa daerah Kedah Selatan membuat rondaan rutin di kawasan Kuala Ketil, Baling kira-kira pukul 3 petang.

"Kawasan Kuala Ketil adalah kawasan panas laluan lori balak, pasukan kami berjaya menahan sebuah lori yang mencurigakan membawa kayu balak pendek daripada pelbagai jenis pokok.

"Apabila pemeriksaan dilakukan, pemandu lori membawa 11 batang balak itu gagal menunjukkan pas pemindahan balak yang bermakna balak itu diangkut tanpa cukai Jabatan Perhutanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Rahim menganggarkan nilai balak diangkut RM6,000 dengan jumlah cukai yang perlu dibayar hampir RM4,000.

Katanya, semua balak itu kemudiannya disita untuk tindakan lanjut. Lelaki itu bagaimanapun kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kami akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 68 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) yang memperuntukkan kompaun sehingga RM10,000.

"Pihak jabatan akan mempertingkatkan lagi rondaan secara bersepadu dan lebih kerap terutama di waktu malam dan hari cuti bagi membendung aktiviti pemindahan serta pengeluaran kayu balak pendek tanpa cukai.

"Tindakan mengangkut balak tanpa cukai merugikan kerajaan selain akan turut merosakkan alam sekiranya tidak dikawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2017 @ 11:08 AM