Pemandu lori muatan buluh bertindak membuang buluh di tepi jalan ketika pemeriksaan yang dilakukan oleh penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan di simpang masuk Jalan Kuala Bikam -Teluk Intan,semalam. FOTO Ihsan JPNPk
Pemandu lori muatan buluh bertindak membuang buluh di tepi jalan ketika pemeriksaan yang dilakukan oleh penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan di simpang masuk Jalan Kuala Bikam -Teluk Intan,semalam. FOTO Ihsan JPNPk
Rosman Shamsudin


Ipoh: Dua lori membawa muatan buluh dan kayu jaras tanpa kebenaran disita oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) dalam kejadian berasingan di Teluk Intan dan Slim River, semalam.

JPNPk dalam kenyataannya berkata, dalam kejadian pertama di simpang masuk jalan Kuala Bikam-Teluk Intan, pihaknya menerima maklumat dari orang awam berhubung lori yang mencurigakan dan disyaki membawa muatan hasil hutan.

Katanya, hasil maklumat berkenaan, pihak penguatkuasa dari Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan menahan lori terbabit di simpang jalan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan ke atas pemandu lori berkenaan mendapati pemandu lori membawa hasil hutan iaitu kira-kira 1,000 batang buluh.

"Pemandu lori terbabit juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran membawa hasil hutan yang dikeluarkan oleh JPNPk," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu lori itu enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan membuang hasil hutan berkenaan di tepi jalan lalu melarikan diri.

"Bagaimanapun pemandu lori terbabit sudah menyerah diri selepas pihak JPNPk membuat laporan polis di Balai Polis Bidor.

"Pada hari yang sama juga, pihak penguatkuasa turut menerima panggilan daripada anggota yang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Slim River memaklumkan terdapat seorang pemandu lori membawa hasil hutan tanpa kebenaran JPNPk.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan oleh penguatkuasa ke atas lori berkenaan didapati lori berkenaan membawa 57 kayu jaras pelbagai spesis tanpa pas pemindah," katanya.

Beliau berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Slim River dan kedua-dua pemandu lori berkenaan sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan direkodkan.

"Kedua-dua lori berkenaan bersama muatan disita dan dibawa ke Stor Rampasan Barang JPNPk.

"Bagi perbuatan kedua-dua suspek itu, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 68 (1) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 ( Pemakaian ) 1985 iaitu kesalahan membawa hasil hutan tanpa pas pemindah," katanya.

Katanya, JPNPk igin memberi amaran kepada orang ramai bahawa pihak JPNPk akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan walaupun di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasa oleh pihak kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 8:32 PM