Lori membawa 18 tual balak haram. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN TERENGGANU
Lori membawa 18 tual balak haram. FOTO IHSAN JABATAN PERHUTANAN TERENGGANU
Zaid Salim


JABATAN Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) melumpuhkan sindiket pengedaran balak haram dengan tertangkapnya dua lelaki susulan penahanan sebuah lori yang membawa muatan balak tanpa cukai, semalam.

Lori membawa tual balak bermutu tinggi jenis Meranti Sarang Punai ditahan sepasukan anggota polis yang menjalankan pemeriksaan Ops Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di jalan Bukit Jeruk menghala ke Gong Bayur, Besut pada 11 pagi.

Pengarah JPNT Muhamad Abdullah berkata, pasukan rondaan Renjer Hutan Besut bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan selepas menerima maklumat berkenaan.

Katanya, hasil semakan awal, terdapat sebanyak 18 tual balak bermutu tinggi berukuran lebih satu meter dianggarkan bernilai RM5,000 berada di atas lori terbabit.

“Semakan terhadap balak itu dipercayai hasil pembalakan haram apabila tiada sebarang bukti hasil hutan itu sudah dibayar royalti.

“Berpandukan jenis dan keadaan mutu kayu berkenaan, kita percaya ia ditebang dan dikeluarkan secara haram dari Hutan Simpan Gunung Tebu, Besut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketika ditahan terdapat tiga lelaki berusia 30-an dalam lori terbabit, namun seorang daripada mereka dipercayai pemandu lori berjaya melarikan diri.

Katanya, hasil soal siasat dua lelaki terbabit mendakwa kayu berkenaan akan dihantar ke kilang memproses kayu pallet di Gong Bayur dan Gong Medang di Besut.

“Penahanan lori terbabit dipercayai dapat melumpuhkan sindiket pengedaran balak haram ke kilang terutama di sekitar Besut

“Dua lelaki berkenaan turut ditahan pihak polis kerana melanggar arahan PKP,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran JPNT atau Pas Pemindah.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 7:50 PM