DUA lori ditahan kerana mengangkut kayu tanpa kebenaran. FOTO Ihsan JPNK.
DUA lori ditahan kerana mengangkut kayu tanpa kebenaran. FOTO Ihsan JPNK.
Noorazura Abdul Rahman


DUA pemandu lori ditahan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) kerana mengangkut kayu hutan dianggarkan bernilai RM20,000 tanpa kebenaran di Jalan Batu 5, Sik, semalam.

Pengarah JPNK Roslan Rani berkata, kedua-dua pemandu berusia 27 dan 30 tahun itu ditahan serentak selepas gagal menunjukkan pas pemindah kayu diangkut mereka sekitar 8.40 malam.

“Seorang daripada mereka mengangkut kayu balak jenis keledang manakala seorang lagi jenis kayu getah. Mereka dipercayai mengangkut kayu ini daripada Hutan Simpan sekitar Sik.

“Bagaimanapun ketika siasatan awal, kedua-dua lelaki terbabit mendakwa tidak mengenali antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataannya, hari ini.

Roslan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 68 (1) kerana membawa hasil hutan tanpa kebenaran yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kedua-dua lelaki terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis manakala kayu dan lori dirampas untuk siasatan lanjut.

“Pihak jabatan memandang serius aktiviti kesalahan hutan yang menyebabkan kerugian kepada negara serta mengganggu ekosistem alam.

“Berikutan itukami komited untuk terus melakukan penguatkuasaan bagi memastikan salah laku jenayah perhutanan dapat dikekang.

“Malah kami mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak dan orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:20 PM