Mexico: Pemain tengah Real Sociedad, Carlos Vela dipanggil Mexico bagi perlawanan persahabatan bulan depan selepas menolak beberapa kali sejak Mac 2011.

Vela, seorang daripada pemain paling berbakat dalam generasinya di Mexico, dinamakan jurulatih Miguel Herrera dalam kalangan 10 pemain berpangkalan di Eropah bagi perlawanan menentang Belanda pada 12 November diikuti Belarus enam hari kemudian, umum persekutuan bola sepak Mexico semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu sering menolak panggilan beberapa jurulatih Mexico sejak memenangi cap ke-35 pada perlawanan persahabatan menentang Venezuela pada Mac 2011.

Bekas pemain Arsenal itu antara pemain skuad juara dunia B-17 bersama Mexico pada 2005, juara Piala Emas CONCACAF bersama pasukan senior pada 2009 dan beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika selatan.

Herrera, yang mengemudi Mexico ke pusingan kedua apabila mereka tumpas kepada Belanda pada Piala Dunia di Brazil tahun ini, turut memanggil kali pertama pemain tengah Twente Enschede, Jesus Manuel Corona.

Lapan lagi berada dalam senarai adalah penjaga gol Guillermo Ochoa (Malaga), pertahanan Diego Reyes (Porto), Hector Herrera (Porto), Andres Guardado (PSV Eindhoven) dan Jonathan Dos Santos (Villarreal) serta penyerang Javier Hernandez (Real Madrid), Raul Jimenez (Atletico Madrid) dan Giovani Dos Santos (Villarreal). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Oktober 2014 @ 5:09 AM