SHAMSUL Iskandar Mohd Akin. FOTO arkib NSTP
SHAMSUL Iskandar Mohd Akin. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid

PAS bertanggunjawab membersihkan arena politik negara daripada amalan korup dan pembohongan, tegas Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata, tanggungjawab PAS bukan sekadar kepada ahli-ahlinya dan penyokongnya yang berkorban memberikan sumbangan membela parti itu daripada tuduhan Sarawak Report (SR) berkaitan dakwaan menerima RM90 juta.

Sehubungan itu, katanya, PAS perlu segera mendedahkan dokumen berkaitan untuk menafikan bahawa RM1.4 juta dibayar kepada pengasas SR.

“Kini dokumen-dokumen berkaitan penyelesaian saman terhadap SR bersama salinan cek dan butiran pembayaran tersebut telah didedahkan.

“Justeru siapa sebenarnya memfitnah dan siapa yang berbohong?” katanya dalam kenyataan di Hulu Langat, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memiliki dokumen transaksi bayaran RM1.4 juta daripada PAS kepada Editor SR Clare Rewcastle Brown untuk menyelesaikan kes saman fitnah di luar mahkamah.

PAS bagaimanapun menegaskan tiada sebarang bayaran dibuat kepada Clare bagi tujuan penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan penerimaan RM90 juta daripada UMNO.

Serangan terhadap PAS kian rancak menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih esok walaupun parti itu tidak bertanding.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari lalu, selain kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos kepada mana-mana pihak.

Shamsul Iskandar berkata, sebagai parti politik lama, kontroversi yang melanda PAS perlu segera diselesaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 3:14 PM