HAMZAH menandatangani sijil pengiktirafan MBR.
HAMZAH menandatangani sijil pengiktirafan MBR.
myMetro

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai agensi kerajaan pertama melaksanakan perkhidmatan Digital Certified True Copy (Digital CTC) di Malaysia.

Pengiktirafan itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin sempena Majlis Sambutan Hari Raya SSM, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Jailani Johari; Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Henry Sum Agung; Ketua Setiausaha KPDNKK merangkap Pengerusi SSM, Datuk Seri Jamil Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh serta Pengasas MBR, Tan Sri Danny Ooi.

Digital CTC adalah transformasi perkhidmatan pengesahan dokumen secara manual kepada digital melalui gabungan teknologi pengimejan dokumen berkanun, tandatangan digital, date time stamping dan Quick Response Code (QR code) dengan ciri-ciri keselamatan.

SSM menawarkan produk Digital CTC kepada pelanggan bagi salinan imej dokumen yang diserah simpan oleh pelanggan di SSM. Ia kerjasama bersama Big Dataworks Sdn Bhd (penyedia perkhidmatan SSM) dan Pos Digicert Sdn Bhd iaitu Pihak Berkuasa Berlesen (Certification Authority) yang diluluskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Akta Tandatangan Digital 1997.

Pembangunan Digital CTC yang dilaksanakan SSM ini selaras dengan objektif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di bawah program transformasi kerajaan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kerjasama ini juga adalah satu transformasi kepada negara melalui cara yang kreatif dan sistematik dalam mewujudkan nilai tinggi dengan kos rendah.

Produk Digital CTC ini bukan saja memastikan kesahihan dokumen yang dikeluarkan oleh SSM lebih terjamin berbanding kaedah manual malah boleh mengelak pemalsuan dokumen oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ini kerana sebarang pindaan ke atas dokumen itu dapat dikesan dan disemak melalui salinan digital serta salinan bercetak.

Sejak awal diperkenalkan bermula Februari hingga Jun 2017, transaksi sebanyak 132,998 dengan jumlah kutipan hasil sebanyak RM2.62 juta sudah direkodkan.

Di samping itu, pelaksanaan Digital CTC memberi impak signifikan kepada penjimatan penggunaan sumber seperti kertas iaitu pengurangan kos penggunaan kertas sebanyak 82 peratus daripada RM27,250 pada 2016 kepada RM4,764 pada 2017 bagi tempoh Januari sehingga Jun.

Pengurangan kos penggunaan toner pula mencatatkan pengurangan sebanyak 83 peratus daripada RM16,085 untuk tempoh Januari hingga Jun 2016 kepada RM2,812 pada 2017 bagi tempoh yang sama.

Produk Digital CTC ini boleh diperoleh melalui portal MyData SSM di https://www.mydata-ssm.com.my 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Sementara itu, selain meraikan seluruh warga SSM dan pihak berkepentingan, SSM turut merai dan menyampaikan sumbangan kepada 51 anak-anak yatim dari Rumah Penyayang Darul Ilmi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 5:44 AM