IDEA menghias bilik kanak-kanak memerlukan perancangan rapi.
IDEA menghias bilik kanak-kanak memerlukan perancangan rapi.

Salam deko dan selamat berpuasa. Bermula Ramadan, idea menghias ruang turut menyusul dengan pelbagai perancangan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri. Antaranya memilih perabot sesuai untuk anak. Mungkin cara ini lebih meningkatkan motivasi si kecil untuk belajar berpuasa dan menghargai keindahan.

Memilih perabot untuk anak kadang kala boleh menjadi perkara yang membingungkan kerana sebagai ibu bapa tentunya ingin memberikan yang terbaik untuk mereka. Namun dari sisi lain, belanja membeli perabot kanak-kanak ada kalanya lebih besar berdanding perabot dewasa. Ini kerana rekaan perabot kanak-kanak sangat berbeza termasuk penampilan lucu atau mempunyai karakter kartun.

Sering berlaku pertembungan idea kerana kanak-kanak tentunya mempunyai cita rasa sendiri. Ibu bapa pula lebih tahu keperluan dan kesesuaian anak mereka. Katil, meja atau kerusi yang bertemakan ‘fancy’ umpamanya mempunyai pelbagai bentuk.

Ia direka khas dan mampu membuatkan anak anda lebih ceria dan seronok. Namun, cuba bayangkan adakah rekaan dan warna terang masih digemari anak anda jika sudah meningkat usia sedangkan perabot berkenaan masih kukuh atau belum rosak?

Kemungkinan hanya pada usia lima hingga 10 tahun anak-anak menggemari rekaan perabot berkarakter kartun dengan penampilan lucu. Tapi, apabila usianya sudah menginjak 10 tahun ke atas, belum tentu anak anda masih menyukainya. Kanak-kanak perempuan yang lebih cepat matang pasti beralih dan menyukai perabot dewasa pula.

Justeru, pilihlah perabot yang tidak keterlaluan kelihatan keanak-anakan dan warna sesuai misalnya coklat, putih atau hitam. Namun tidak salah meletakkan satu atau dua perabot kanak-kanak seperti kerusi berbentuk tangan. Anda juga dapat menghiasi tempat tidur anak anda menggunakan pelekat pelbaga motif atau melukis gambar kesukaannya. Ketika anak sudah menginjak usia dewasa, anda hanya perlu menyesuaikan penataan kamarnya dengan ornamen yang lebih ringkas dan sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 5:03 AM