NILAI agama dan budaya perlu terus diterapkan bagi menepis pengaruh songsang.
NILAI agama dan budaya perlu terus diterapkan bagi menepis pengaruh songsang.
Nurul Husna Mahmud


AKTIVITI yang mudah untuk ibu bapa lakukan bersama anak-anak adalah menonton kartun, tetapi ramai yang berasakan ia perbuatan remeh sebaliknya membiarkan si anak bersendirian.

Biasanya ibu bapa berpandangan, rancangan kartun sememangnya untuk kanak-kanak dan kandungan terutama kisah dongeng yang klasik memiliki semua nilai murni tidak mengandungi sebarang elemen yang memberi kesan negatif kepada si kecil.

Kajian dilakukan terhadap perkembangan kanak-kanak terutama kesan kepada personaliti apabila terdedah dengan rancangan kartun mendapati tidak semuanya berakhir dengan kesan positif kerana terdapat ruang untuk kanak-kanak anak itu keliru.

Sebaliknya ada sesetengah kartun yang memiliki unsur ganas dan agresif boleh mempengaruhi tingkah laku agresif meskipun ada ketetapan sesuai ditonton di bawah usia tiga hingga empat tahun.

Tidak kurang juga dalam penemuan lain mendapati 78 peratus kanak-kanak akan terikut-ikut dengan karakter dalam kartun baik atau buruk jika tidak ada golongan dewasa menjadi pemantau menjelaskan nilai-nilai yang ada pada jalan cerita terbabit.

Lebih serius dalam situasi terkini apabila akses pelbagai platform berbayar yang memberi cabaran baharu kepada ibu bapa apabila kandungan kartun bersifat polos semakin dicemari dengan elemen golongan songsang.

Hal itu dikongsikan Pakar Keibubapaan Parent Connect Consultansy, Noor Afidah Abu Bakar apabila bukan sahaja ibu bapa di timur tidak dapat menerima unsur itu dalam kandungan kartun kanak-kanak, malah di barat turut menyuarakan kebimbangan yang sama.

MEMBIARKAN anak menonton sendirian menjadikan mereka sebagai sasaran golongan songsang.
MEMBIARKAN anak menonton sendirian menjadikan mereka sebagai sasaran golongan songsang.

Kata Noor Afidah, beliau terpanggil berkongsi mengenai kandungan kartun kanak-kanak ketika ini yang mula terbuka menerima unsur 'songsang' kerana bimbang situasi ibu bapa di era moden yang kerap membiarkan anak mereka menonton rancangan kartun sendirian.

"Tanggapan naif ibu bapa, kartun tidak mungkin mengandungi perkara yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak, sedangkan mengikut perkembangan semasa ia semakin terbuka dipaparkan dalam penceritaan kisah kanak-kanak.

"Dulu bermain dengan karakter, situasi kini lebih terbuka. Sebagai contoh kes dikongsikan satu pasangan dari luar negara menerusi akaun media sosial mereka. Ibu bapa berkenaan mengecam adegan bercium antara kaum sejenis dalam siri-siri kanak-kanak di saluran berbayar.

"Bayangkan jika hal itu tidak dikesan atau ditonton golongan dewasa. Kanak-kanak pasti beranggapan perlakuan melampaui batas itu dibenarkan dalam masyarakat kita.

"Di sini kepentingan untuk ibu bapa perlu dorong diri mereka menyertai aktiviti anak-anak menonton kartun kegemaran. Ia bukan sahaja satu bentuk pemantauan baik, malah mengukuhkan hubungan ibu bapa dengan anak," katanya.

 IBU bapa perlu waspada kandungan hiburan kanak-kanak yang dicemari elemen songsang.
IBU bapa perlu waspada kandungan hiburan kanak-kanak yang dicemari elemen songsang.

Pakar itu juga tidak lupa berkongsi sejarah kandungan hiburan kanak-kanak sudah dicemari golongan songsang sejak 1980-an.

"Bukan sahaja karakter kartun barat, karakter kartun dari timur seperti anime juga terlalu dewasa untuk tontonan kanak-kanak. Siri popular era 80-an dan 90-an seperti Cardcaptor Sakura atau Sailormoon yang memiliki kumpulan peminat besar.

"Sedangkan karakter atau adegan dalam kartun tertentu terlalu dewasa untuk difahami kanak-kanak. Sekarang ini diburukkan lagi dengan kewujudan platform tontonan berbayar.

"Ini menjadikan akses tanpa sebarang had termasuk kartun tanpa tapisan kepada kanak-kanak. Ibu bapa perlu sedar dalam meluangkan masa menonton kartun bersama anak-anak di rumah sudah menjadi keutamaan mereka," katanya.

Tambah Noor Afidah, kanak-kanak antara sasaran mudah untuk dipengaruhi golongan terbabit, sekali gus menjadi ia sebahagian normalisasi unsur ini dalam masyarakat.

"Kita sudah sedia tahu, kanak-kanak dilahirkan umpama kain putih. Mereka akan mengikut acuan berdasarkan perkara yang diserap dari sekeliling.

"Hal itu dijelaskan dalam Teori Pembelajaran Sosial iaitu perkara yang sering diperhatikan, ditonton dan diteladani mencorakkan pemikiran serta tingkah laku kanak-kanak.

NOOR Afidah
NOOR Afidah

"Hendak mempengaruhi ibu bapa yang sudah kental akal dan hatinya mungkin payah menerima nilai songsang ini berbanding lebih mudah menyentuh hati serta pemikiran kanak-kanak," katanya.

Masalah itu boleh menjadi serius andai ibu bapa terus bersikap acuh tidak acuh selain tidak menunjukkan minat untuk menyertai aktiviti anak-anak terutama dalam menonton kartun.

"Isu ini semakin serius apabila ada perkongsian dari ibu bapa prihatin di luar bertemu anak-anak lelaki sama jenis melakukan perbuatan tidak sopan di padang permainan.

"Secara tidak langsung ini memberi gambaran masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak berlaku seawal usia persekolahan rendah lagi.

"Ibu bapa perlu melaburkan masa dan usaha bagi tingkatkan skil atau kemahiran mereka supaya dapat mengendalikan situasi terbabit dengan tenang. Ilmu keibubapaan adalah kemahiran sangat penting dan perlu dalam membesarkan anak-anak masa kini.

"Selain itu, ibu bapa hendaklah bersikap ambil tahu dan tidak boleh samakan keadaan anak membesar dengan situasi atau persekitaran mereka. Perlu juga jalinkan hubungan rapat dengan pihak sekolah atau masyarakat supaya membentuk sokongan sosial baik," katanya.

Pakar itu turut merumuskan keadaan atau pengaruh songsang ini mudah meresap masuk dalam masyarakat andai ibu bapa terus bersikap sedemikian:

1. Tidak mengambil tahu setiap kandungan yang ditonton anak.

2. Tidak menonton bersama-sama anak.

3. Membiarkan anak melayari sendiri gajet dan televisyen tanpa pemantauan serta tapisan.

4. Tidak berbual dan berbincang dengan anak-anak apa yang ditonton mereka.

5. Tidak menanamkan nilai-nilai Islam, nilai timur dan nilai positif dalam diri anak.

6. Tidak cakna dan peka akan keseriusan isu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:00 AM