PADANAN semua elemen dari warna, pilihan perabot hingga pencahayaan menentukan keselesaan.
PADANAN semua elemen dari warna, pilihan perabot hingga pencahayaan menentukan keselesaan.
TIDAK salah menerapkan warna putih kerana ia lebih mendisiplinkan.
TIDAK salah menerapkan warna putih kerana ia lebih mendisiplinkan.
SUSUNAN katil dan perabot lain paling sesuai dirapat ke dinding jika ruang sempit.
SUSUNAN katil dan perabot lain paling sesuai dirapat ke dinding jika ruang sempit.
PENGGUNAAN perabot dan ruang secara praktikal.
PENGGUNAAN perabot dan ruang secara praktikal.
WARNA yang terang dan cerah dapat memberikan ruang lebih tampak luas.
WARNA yang terang dan cerah dapat memberikan ruang lebih tampak luas.
Oleh Hartini Mohd Nawi

Sebaik si manja lahir di depan mata, kita sebagai ibu bapa memang mahu memberikan yang terbaik buatnya dari pelbagai aspek dan salah satu pastinya keselesaan. Lantas tercetuslah pelbagai idea termasuk untuk menghias bilik si manja.

Peredaran waktu, kanak-kanak bakal melalui alam remaja, seterusnya dewasa. Ketiga-tiga peringkat ini memainkan peranan yang cukup penting dalam membentuk keperibadian mereka.

Justeru, peka dengan situasi itu, Zaldeco Inspiration tampil berkongsi idea untuk mencipta persekitaran hebat di kamar si manja.

Menurut pemiliknya dan pereka hiasan dalaman terkenal Faizal Zain, anak yang membesar di bilik yang menarik dan kemas pasti membesar sebagai individu pembersih, punya minat mengemas dan pandai menguruskan diri.

“Lazimnya di Asia, kebanyakan kita tidak membiarkan anak tidur sendirian di bilik mereka. Kita masih lagi mempraktikkan tidur bersama ibu bapa atau bergelimpangan di ruang tamu,” katanya.

Faizal berkata, kanak-kanak sememangnya sukar untuk tidur bersendirian di bilik mereka, justeru perlu ada cara untuk memujuk dan memikat supaya mereka dengan sendirinya tidur di bilik yang disediakan.

“Salah satu daripada caranya adalah dengan menzahirkan dekorasi bilik tidur sempurna, menarik dan menyeronokkan, sekali gus mencetuskan minat untuk terus mengeksplorasi bilik mereka.

“Kaedah ini sudah lama saya praktikkan pada anak saya. Secara tidak sedar, kini ketika membeli-belah sekalipun, mereka sudah pandai memilih corak dan warna cadar sendiri termasuk pemilihan langsir atau perabot di dalam bilik masing-masing walaupun kedua-duanya masih di bangku sekolah rendah,” katanya.

Anda harus peka dan tahu membezakan antara perabot untuk dewasa dan kanak-kanak. Jika anda membeli atau menempah almari pasang siap, pastikan ia tidak terlalu tinggi.

Pintu dan semua laci berada di dalam jang­kauan anak anda. Ini bagi memudahkan anak mengambil barangan tanpa mendorong mereka untuk memanjat hingga mengundang bahaya.

Begitu juga dengan meja tulis atau meja sisi. Seelok-eloknya pastikan ia bukan daripada bahan kaca kerana kanak-kanak sedikit lasak dan perabot kaca apabila pecah boleh membahayakan mereka.

Selain itu, pastikan perabot yang ditempatkan bukan daripada jenis berbucu tajam yang boleh mengundang kecederaan.

Jika menggunakan lampu ‘fancy’ di dalam bilik itu seperti cahaya kuning, merah, hijau atau biru, pastikan anda juga meletakkan lampu cahaya putih sebagai sampingan.

“Ini kerana kanak-kanak tentunya menghabiskan banyak masa di dalam bilik mereka untuk membaca. Lampu putih amat diperlukan untuk aktiviti pembelajaran.

“Kita sudah maklum bahawa bilik anak perempuan biasanya berlatarkan warna lembut seperti merah jambu, kuning telur, jingga cair dan krim. Ini kerana warna itu mencerminkan keperibadian si anak gadis anda.

“Sebaliknya jika menghias kamar tidur anak lelaki, warna seperti hijau, biru, oren lembut, coklat muda dan kelabu boleh digunakan untuk memberi impak yang lebih maskulin,” katanya.

Selalunya kanak-kanak suka berimaginasi sebelum melelapkan mata. Jadi, amat sesuai di dalam bilik mereka ditampal kertas dinding daripada corak yang menarik.

“Secara peribadinya saya lebih gemar menghias bilik anak dengan perabot putih walaupun masyarakat kita sering dimomokkan bahawa perabot warna itu tidak sesuai pada anak kerana mudah kotor.

“Cuba fikir sebaliknya, jika kita memberi mereka perabot putih dan sering mengingatkan mereka

supaya sentiasa berwaspada dan menjaga kebersihan ruang itu secara tidak langsung ia menjadi didikan berguna,” katanya.

Susunan perabot pula penting kerana dapat memperlihatkan ruang yang sempit kelihatan luas. Ia juga penting supaya anak anda lebih selesa dan tidak terasa lemas dalam bilik sendiri.

Sementara itu, susunan katil dan perabot lain paling sesuai dirapat ke dinding. Warna yang terang dan cerah dapat memberikan ruang lebih tampak luas. Jika bilik sempit memadai sekadar disediakan katil dan almari pakaian saja.

Kunjungi ruang pameran Zaldeco di 16-1, The Core Sunsuria, Taman Sains Selangor, Kota Damansara, Selangor atau layari blog: zaldeco.blog­spot.com atau facebook ZALDECO INSPIRATIONS untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:31 AM