VARIASI kasut tapak rata Varina yang menjadi tarikan dalam versi mini ini.
VARIASI kasut tapak rata Varina yang menjadi tarikan dalam versi mini ini.
HIMPUNAN Ferragamo Mini diilhamkan daripada koleksi dewasa yang santai dan selesa.
HIMPUNAN Ferragamo Mini diilhamkan daripada koleksi dewasa yang santai dan selesa.
Nor Faizah Mohamed


Merah, putih, hijau, jingga dan kuning. Kalau boleh semuanya serba terang bagi si kecil.

Kartun, corak polka dan apa saja yang mempunyai imej comel juga pasti jadi pilihan si kecil dalam menyuai padan pakaian serta kasut kegemarannya.

Semua yang terang warnanya dikatakan cantik pada pandangan si cilik, lalu tidak hairanlah apabila tema blok warna boleh dilihat pada penampilan mereka.

Sememangnya ibu bapa memegang peranan utama selaku penggaya fesyen si kecil supaya mereka tidak kelihatan janggal atau lucu apabila dibawa keluar rumah.

Kanak-kanak juga mahu tampil bergaya, sama seperti yang dilakukan ibu bapa dan golongan dewasa di sekelilingnya.

Ada sesetengah si kecil mahu menyarungkan helaian sepadan usia, tetapi apa yang berlaku, sesetengah ibu bapa terlalu mengikut idea tipikal mengenai fesyen untuk anak mereka.

Misalnya dalam pemilihan kasut, ada yang cantik buat ibu bapa tetapi tidak selesa dipakai si kecil hingga memudaratkan kakinya. Ada pula yang elok dipakai tetapi buruk pula pada pandangan mata dewasa.

Selesa sepatutnya menjadi pegangan utama dalam menata gaya si kecil agar mereka tidak meragam kala dibawa keluar berjalan.

Aspek selesa dan penuh gaya itulah yang dibawakan Salvatore Ferragamo dalam himpunan istimewanya untuk si cilik.

Sama seperti koleksi dewasa, rekaan untuk himpunan Ferragamo Mini ini sama dari setiap segi bagi membantu gaya sedondon dengan ibu bapanya.

Himpunan penuh warna yang ini menyerlahkan personaliti girang si kecil, sekali gus memberi kelebihan untuk mereka bergerak bebas tanpa kekangan rekaan, material dan sebagainya.

Jenama mewah dari Itali itu mengetengahkan rekaan kontemporari pada kasut, pakaian dan aksesori untuk kanak-kanak berusia tiga ke lapan tahun.

Antara yang menjadi tarikan dalam versi mini ini ialah kasut tapak rata Varina, kasut mokasin Double Gancio dan beg tote Vara yang dihasilkan secara terperinci bagi menyaingi koleksi dewasa.

Beberapa rekaannya juga disulami aura romantis khususnya untuk koleksi kanak-kanak perempuan sementara gaya klasik dan ‘preppy’ bagi si lelaki.

Sama seperti koleksi dewasa, penekanan terhadap siluet diberi perhatian khusus dan koleksi musim ini menonjolkan banyak suai padan comel untuk lelaki juga perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 5:33 AM