GAUN bersama renda menjadi antara gaya tumpuan bagi koleksi H&M Studio Kids ini.
GAUN bersama renda menjadi antara gaya tumpuan bagi koleksi H&M Studio Kids ini.
SEDIKIT gaya matang diberikan pada helaian luar seperti jaket, blazer, rompi dan tunik.
SEDIKIT gaya matang diberikan pada helaian luar seperti jaket, blazer, rompi dan tunik.
Nor Faizah Mohamed


Siapa kata si kecil tidak suka bergaya dan berpakaian cantik yang sesuai dengan umur mereka? Cuba padankan baju yang tidak digemari, pasti sukar memujuk mereka memakainya.

Kanak-kanak yang sudah melangkaui usia tiga tahun biasanya mempunyai rekaan dan warna kegemaran mereka.

Selain itu, apa saja yang berwarna-warni dan menampilkan watak kartun kegemaran, itulah yang sering menjadi pilihan di mata mereka.

Sememangnya ibu bapa memegang peranan utama selaku penggaya fesyen si kecil supaya mereka tidak kelihatan janggal atau lucu apabila dibawa keluar rumah.

Fesyen itu sepatutnya dinikmati dan diraikan semua tanpa mengenal usia, jantina atau warna kulit.

Menyedari keperluan itu, H&M Studio hadir dengan himpunan kanak-kanak bagi musim ini dengan mengambil inspirasi daripada kisah dongeng dan cerita rakyat yang menjadi kegemaran si manja.

Kisah warna-warni Alice in the Wonderland dan dongeng Sweden oleh John Bauer adalah antara ilham yang diterjemahkan dalam himpunan comel ini.

Rekaan dan potongan ringkas disemarakkan dengan perincian serta cetakan ceria terutama pada kemeja dan gaun.

Gaun pelbagai rona bersama renda menjadi gaya tumpuan bagi koleksi ini, di samping jaket kulit bak bintang rock untuk kanak-kanak lelaki.

Sama seperti koleksi dewasa, penekanan terhadap siluet diberi perhatian khusus dan koleksi musim ini menonjolkan banyak suai padan comel untuk lelaki juga perempuan.

Ada sebahagian helaiannya pula direka untuk aktiviti luar yang menekankan penggunaan fabrik ringan dan hangat seperti fleece, selain padanan mudah pada jaket serta kardigan.

Tidak ketinggalan beberapa helaian yang menggunakan material mudah kering untuk memberikan kesan selesa kepada kanak-kanak.

Pada masa sama, sedikit gaya matang diberikan pada helaian luar khususnya rompi dan tunik.

Jaket dan kemeja-T pula tampak manis dengan corak watak kartun serta flora menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 9:59 AM