BUTANG kekunci Zenbook 3 kemas.
BUTANG kekunci Zenbook 3 kemas.
ZENBO boleh rakam foto.
ZENBO boleh rakam foto.
Afiq Hanif


Kebiasaannya, ASUS membuat penampilan produk perkomputerannya sempena pameran komputer Computex yang berlangsung di Taipei, Taiwan dengan segmen komputer peribadi (PC) atau aksesori perkomputeran lain namun tahun ini, syarikat terbabit melonjak lebih maju.

ASUS membuat kejutan sehari sebelum berlangsungnya pameran komputer Computex 2016 minggu lalu dengan memperkenalkan robot pembantu, Zenbo.

Presidennya, Jonny Shih sendiri menampilkan Zenbo yang mempunyai kepala dan badan berbentuk bulat yang tingginya hingga paras lutut lelaki dewasa.

“Ini adalah masa depan dan ia akan digunakan untuk pendidikan, hiburan, kesihatan dan banyak lagi,” kata Shih.

Zenbo memahami percakapan manusia dan mampu menerima arahan melalui suara serta merakam foto. Kepalanya mempunyai paparan berbentuk empat segi dan disambungkan ke Internet untuk berkomunikasi.

Zenbo dijual pada harga $AS599.

Robot terbabit bergerak dengan dua roda di kiri dan kanan serta pergerakannya kelihatan lancar ketika demonstrasi dilakukan di depan wakil media.

Melalui kamera di depan, Zenbo mampu mengesan dan mengenali wajah individu, merakam foto dan video, membuat panggilan video dan mengawal perkakasan elektrik dalam rumah.

Melalui demonstrasi sama, Zenbo berupaya mematikan televisyen, mengawal suhu pendingin hawa dan banyak lagi hanya dengan sensor yang dipasang dalam robot terbabit.

Ia berita baik kepada suri rumah atau ibu yang mahukan pembantu di dapur apabila Zenbo akan memaparkan resipi di skrin dan menasihatkan jumlah sukatan bagi masakan tertentu.

Robot terbabit juga menjadi peneman kepada warga tua apabila ia memaklumkan masa untuk mendapatkan rawatan dan tempoh masa tertentu untuk mengambil ubat malah Zenbo akan mengesan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini kepada ahli keluarga terdekat dengan segera membuat panggilan.

Demonstrasi menunjukkan seorang warga emas terjatuh dan Zenbo pantas mengesan sesuatu yang tidak kena berlaku dan membuat panggilan kepada anak warga emas terbabit dan kemudian memasang kamera secara langsung untuk melihat keadaannya.

Zenbo boleh mendengar dan memberi maklum balas secara semula jadi kepada mana-mana soalan yang diutarakan. Semestinya ia berdasarkan sambungan Internet dalam robot terbabit.

Kepada anak kecil, Zenbo menjadi peneman dengan sensor emosi yang mampu memperlihatkan mimik muka robot pada skrin.

Ia boleh memaparkan buku di skrin mukanya dan membacakan cerita dongeng yang diminati anak kecil.

Zenbo bersedia menemui pengguna pada penghujung tahun ini.

Bagi laptop pula, tumpuan sudah pasti kepada Zenbook 3 yang sangat nipis dan mempunyai berat hanya 910 gram pada rekaan aloi alumunium aeroangkasa.

Kenipisannya? Hanya 11.9mm dan ia 30 peratus lebih nipis berbanding MacBook Air.

Paparannya lengkap dengan saiz 12.5 inci yang turut mempunyai fungsi skrin sesentuh berlapiskan Corning Gorilla Glass 4 untuk mengelakkannya daripada calar.

Lebih 82 peratus penelnya meiputi paparan skrin untuk meminimumkan saiz bingkainya.

Selain itu, ASUS juga memperkenalkan sistem kipas penyejuk yang mempunyai bilah kipas 3mm saja.

Papan kekuncinya direka untuk memberikan pengalaman menaip seakan-akan desktop, walaupun kecil ASUS masih mampu menyediakan lampu LED pada butang yang menyalakan huruf, nombor dan simbol.

Pad sesentuhnya dilapisi kaca yang lebih peka dan mampu mengesan tapak tangan selain sensor cap jari dengan sokongan Windows Hello merevolusikan kaedah log masuk ke ZenBook 3 tanpa perlu menaip kata laluan.

Zenbook 3 mempunyai keupayaan pemprosesan Intel Core i7 generasi ke-7 dan memiliki RAM DDR3 16GB manakala storannya memang berkapasiti besar sehingga 1TB hanya dengan pemacu flash (SSD) saja.

ASUS memaklumkan laptop ini menawarkan penggunaan bateri sehingga sembilan jam dan ia turut mempunyai fungsi pengecasan pantas mengecas 60 peratus bateri dalam tempoh 49 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 1:17 PM