Sarah Zulkifli


Kuala Lumpur: Tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk hadapi tiga tuduhan menawarkan dan menerbitkan saham syarikat membabitkan hampir 7 juta unit tanpa prospektus yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), enam tahun lalu.

Bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Abdul Malek Yusof dan Noor Aida Abdullah, masing-masing berusia 43 tahun, serta bekas pegawai eksekutif syarikat sama, Raja Samsul Bahri Raja Muhammad, 48, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 April 2010 hingga 28 Disember 2011 di JPG Holdings Berhad di Jalan USJ 21/3, Subang Jaya.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan dibaca bersama Seksyen 232(1) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 232(7) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10 juta dan penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Julai ini sebagai sebutan semula kes serta syarat tambahan pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 2:43 PM