NOLITO (tengah) gembira dengan gol pertamanya untuk Sepanyol.
NOLITO (tengah) gembira dengan gol pertamanya untuk Sepanyol.

St Gallen, Switzerland: Pemain Sepanyol Nolito menjaringkan gol antarabangsa pertamanya bagi membolehkan pasukannya menang 3-1 ke atas Bosnia pada perlawanan persahabatan yang menyaksikan Emir Spahic dilayangkan kad merah sebelum rehat.

Sepanyol yang juga juara Eropah, sedang dalam proses memanas badan sebelum Euro 2016, menurunkan lapan pemain baharu manakala Bosnia yang tidak layak ke Perancis, bermain dengan barisan terbaik.

Penjaga gol Sepanyol Sergio Asenjo, pertahanan Hector Bellerin dan pemain tengah Marco Asensio semuanya diturunkan sebagai kesebelasan utama dan ia adalah penampilan antarabangsa buat pemain muda berkenaan.

Nolito yang sudah tujuh kali menyarung jersi kebangsaan, meletakkan Sepanyol di depan pada minit ke-11 apabila tandukan Edin Dzeko singgah tepat di kakinya sebelum membuat rembatan lencong yang menerjah gawang.

Pemain Celta Vigo itu sekali lagi menjaringkan gol selepas memperdayakan penjaga gol Bosnia Asmir Begovic.

Penyerang Bosnia Dzeko yang mengharungi musim tidak menentu di AS Roma, digantikan Milan Duric tidak lama kemudian walaupun tidak dapat dipastikan sama ada dia benar-benar cedera.

Bosnia merapatkan kedudukan pada minit ke-30 menerusi tandukan Spahic yang sekali gus menceriakan 12,000 penyokong mereka.

Kekasaran mula berlaku kira-kira 10 minit sebelum tamat babak pertama dan Spahic diarah keluar padang selepas mengasari muka pemain Sepanyol ketika kekecohan di tepi padang.

Pada babak kedua, Sepanyol memasukkan Denis Suarez, Inaki Williams, Mikel Oyarzabal, Javier Diego Llorente dan Pablo Fornals. Semua pemain terbaik turun buat kali pertama mewakili juara Eropah itu.

Walaupun tanpa seorang pemain, Bosnia kelihatan lebih berbahaya di babak kedua dan Sepanyol tetap bertahan untuk melakar kemenangan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 10:02 AM