SUAREZ (kiri) melakukan percubaan ke arah pintu gol Villarreal.
SUAREZ (kiri) melakukan percubaan ke arah pintu gol Villarreal.
Reuters

Barcelona: Penyokong Barcelona melaungkan nama Luis Suarez apabila dia mencipta gol buat Lionel Messi membuka tirai jaringan ketika menang 3-1 ke atas Villarreal pada separuh akhir pertama Piala Raja Sepanyol, awal pagi semalam.

Kemenangan ke-10 berturut-turut Barca dalam semua pertandingan, rentetan kemenangan terpanjang sejak hujung 2010, meletakkan mereka dalam posisi terbaik mara ke final Mei ini selepas perlawanan timbal balik di Madrigal tiga minggu lagi.

Mereka bertemu sama ada Athletic Bilbao yang memenangi piala itu 23 kali berbanding Barca, 26, atau juara 2006, Espanyol, kedua-duanya seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium San Mames.

Penyerang Uruguay, Suarez mengambil masa menyesuaikan diri di Sepanyol selepas menyertai Barca dari Liverpool namun sekalipun dia belum begitu menggegar jaring, dia agak menyerlah dengan hantaran dan kreativitinya.

Dia merampas bola pada minit ke-41 di Nou Camp sebelum meluru memasuki kawasan lawan dan melakukan hantaran tepat ke kaki Messi yang merembat melepasi jangkauan penjaga gol Sergio Asenjo.

Barca mensia-siakan beberapa peluang sebelum pelawat menyamakan kedudukan tiga minit babak kedua bersambung apabila penjaga gol tuan rumah, Marc Andre Ter Stegen membiarkan percubaan jarak jauh Manuel Trigueros terlucut daripada tangkapannya.

Andres Iniesta kembali meletakkan Barca di depan seminit kemudian sebelum pemain kebangsaan Sepanyol, Gerard Pique menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-64 menerusi tandukan hasil sepakan sudut Messi.

“Ia kemenangan yang bagus, tapi sepatutnya lebih baik,” kata Pique. “Kami sedar beraksi di El Madrigal pasti sukar dan masih perlu memenangi perlawanan.

“Kami bermain dengan penuh keyakinan ketika ini dan ia bermakna kami boleh bertindak balas dengan pantas apabila dibolosi.”

Bilbao mendahului pada minit ke-11 di San Mames menerusi penyudah menakjubkan penyerang Aritz Aduriz sebelum pemain tengah Espanyol, Victor Sanchez merembat kencang gol penyamaan 10 minit sebelum rehat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:17 AM