AKSI Dzeko ketika menjaringkan gol Bosnia.
AKSI Dzeko ketika menjaringkan gol Bosnia.
Agensi

Paris: Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps mengakui trio penyerangnya terdiri daripada Antoine Griezmann, Karim Benzema dan Kylian Mbappe perlu lebih menyengat dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.

Deschamps menurunkan ketiga-tiganya dalam tujuh perlawanan berturut-turut tetapi gagal menyinar ketika seri 1-1 dengan Bosnia-Herzegovina di Strasbourg awal pagi tadi.

Pengendali Les Bleus itu mengekalkan trio terbabit sejak kepulangan Benzema dalam skuad kebangsaan namun mereka gagal menang dalam empat aksi terakhir.

Griezmann meledak gol penyamaan minit ke-39 selepas jaringan pendahuluan Edin Dzeko tetapi Perancis beraksi 10 pemain hampir keseluruhan babak kedua apabila Jules Kounde dilayang kad merah.

Percubaan terbaik Mbappe menerusi rembatan tersasar pada minit ke-27 manakala jaringan penyamaan Perancis boleh dianggap tuah selepas bola sepakan sudut ditanduk Dzeko terkena belakang Griezmann dan masuk ke gawang Bosnia.

Rembatan Benzema pula tepat ke sasaran selepas terkena pemain lawan terlebih dahulu dan mudah diselamatkan penjaga gol, Ibrahim Sehic.

"Ada aspek yang bagus, ada kesinambungan dan aksi individu,'' kata Deschamps selepas tamat perlawanan.

"Pasukan lawan menggunakan ramai pemain bagi mengurangkan ruang. Kami mencipta peluang pada babak pertama. Terdapat situasi yang sepatutnya kami manfaatkan.

"Pertahanan perlu dikukuhkan tetapi pada masa sama barisan penyerang kami perlu menjaringkan gol. Saya ada pemain lain di bangku simpanan dan boleh menurunkan mereka jika terpaksa.''

Juara dunia itu kekal pendahulu Kumpulan D dengan lapan mata daripada empat perlawanan manakala pasukan di tangga kedua, Ukraine seri 2-2 di Kazakhstan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 10:28 AM