Asmir Begovic mempunyai ingatan samar mengenai perang yang meragut nyawa saudara-maranya di Bosnia pada awal 1990-an sehingga menyebabkan dia dan keluarga merantau jauh hingga ke Kanada.

Dia dilahirkan di Trebinje, Yugoslavia, menghabiskan masa kanak-kanaknya di Jerman, membesar di Edmonton, Kanada dan kini bermain bola sepak profesional di England, bersama pasukan Stoke City dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Apa saja pengalaman buruk dilalui keluarganya langsung tidak memberi kesan ke atas mental dan emosi penjaga gol itu yang turut gah mewakili Bosnia Herzegovina ke Piala Dunia Brazil, Jun lalu.

“Saya meninggalkan Bosnia sebelum semuanya berlaku. Semakin menginjak dewasa, saya memahami dan mempelajari apa yang berlaku, memahami kesan kejadian itu dan impaknya terhadap rakyat negara ini,” katanya.

“Memandangkan saya tidak berada di Bosnia ketika perang berlaku, saya mungkin tidak memahami apa signifikannya tetapi adalah penting untuk saya mengetahuinya.

“Selepas ia berlaku, ia menyatukan seluruh rakyat Bosnia dan wujud persefahaman dalam hati mereka.”

Semangat itulah yang membawa Bosnia Herzegovina ke Piala Dunia Brazil bersama pemain sehebat Edin Dzeko (Manchester City), Emir Spahic (Bayer Leverkusen) dan Miralem Pjanic (AS Roma).

Mereka membawa harapan besar negara pasca-perang itu ke pentas dunia.

Untuk penampilan pertama di Piala Dunia, Bosnia-Herzegovina tidak menghampakan apabila menduduki tangga ketiga Kumpulan F, mengumpul tiga mata hasil tiga perlawanan.

Ternyata Bosnia-Herzegovina tetap dekat di hati Begovic meskipun kini hidup berkeluarga di Kanada.

Baru-baru ini dia meluangkan masa melawat hospital kanak-kanak untuk rawatan kanser di Sarajevo.

Begovic mewarisi bakat bapanya Amir yang juga penjaga gol pasukan Leotar di Trebinje, malah turut menjadikan bapa sebagai idola.

“Saya ingin menjadi penjaga gol sehebat beliau. Kanak-kanak lain semuanya dapat menjaringkan gol tetapi saya tidak berpeluang,” kata Begovic yang turut menyanjungi kehebatan bekas penjaga gol Jerman Oliver Kahn.

Akhirnya dia memperolehi peluang itu pada 2 November 2013 menerusi jaringan penuh gaya yang meletakkan namanya dalam Rekod Dunia Guinness 2015.

Seawal 13 saat perlawanan menentang Southampton, sepakannya sejauh 97.5 ela (89.1m) berjaya memperdayakan penjaga gol lawan, Artur Boruc sekali gus mencatat rekod sebagai gol paling jauh dijaringkan dalam bola sepak.

“Ia sesuatu yang hebat tetapi semua itu hanya tuah. Saya bersimpati terhadap Boruc. Sepakan itu membawa bola pergi jauh dan melantun masuk ke gawang,” kata Begovic.

“Sebagai penjaga gol sudah tentu mereka tidak mahu berdepan gol seumpama itu. Saya juga begitu. Ia membuatkan penjaga gol kelihatan teruk dan saya tidak meraikan jaringan itu kerana menghormatinya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:05 AM