DEMONSTRASI anggota AKSEM di Majlis Pelancaran Logo AKSEM. FOTO Eizairi Shamsudin
DEMONSTRASI anggota AKSEM di Majlis Pelancaran Logo AKSEM. FOTO Eizairi Shamsudin
Ahmad Saufi Mansor dan Aizat Sharif


Bukit Kayu Hitam: Pertukaran nama Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) kepada Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) berkuat kuasa hari ini bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawabnya dalam membanteras ancaman keselamatan di sempadan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga menzahirkan keseriusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mengawal sempadan negara daripada ancaman keselamatan seperti pembolosan, pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang terlarang.

"AKSEM beroperasi secara pentadbiran berlandaskan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi untuk jangka masa panjang, kajian akan dilakukan bagi mewujudkan satu akta khusus agar AKSEM dapat bergerak dengan lebih berkesan.

"KDN akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara utuk mewujudkan satu undang-undang khusus mengenai kawalan sempadan yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada hujung tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran AKSEM di Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Turut hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Pengarah AKSEM, Datuk Mohamad Ismail.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, semua anggota dan pegawai AKSEM yang bertugas di negeri yang mempunyai sempadan antarabangsa hanya dibenarkan bertugas untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan.

"Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan amalan 'angkat tangan' yang sering dikaitkan dengan anggota penguat kuasa yang bertugas di pintu sempadan negara.

"Mereka akan bertugas melalui penggiliran menerusi pertukaran pasukan AKSEM mengikut tempoh ditetapkan dalam usaha meningkatkan kawalan dan keselamatan sempadan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2016 @ 2:08 PM