Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Jurulatih Perak Datuk M Karathu mengidam khidmat seorang bek tengah import dalam usaha memantapkan benteng The Bos Gaurus.

Keinginan jurulatih itu seperti sudah dijangka kerana beliau tidak begitu yakin dengan kemampuan pemain pertahanan tempatan seandainya sesuatu berlaku kepada tonggak di posisi berkenaan, Thiago AJunio Aquinp.

Malah, Karathu sebelum ini pernah menyuarakan hasratnya menggunakan dua pemain import di bahagian pertahanan dan dua di jentera serangan.

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mendedahkan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai ura-ura Perak mahu menggantikan Charles Souza Chad.

“Jurulatih tidak berapa yakin dengan kemampuan pemain pertahanan tempatan dan beliau bimbang andai Thiago mengalami kecederaan atau penggantungan.

“Oleh yang demikian beliau mencadangkan PAFA supaya mendapatkan khidmat seorang lagi pemain import di bahagian pertahanan untuk digandingkan dengan Thiago,” katanya.

Kedudukan Chad dalam pasukan semakin tidak menentu selepas dikecam hebat gara-gara gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Perak tumpas 2-3 kepada Terengganu, Sabtu lalu dan dia mungkin terpaksa memberi laluan jika pasukannya memutuskan untuk mendapatkan khidmat pemain baru.

Namun, segala-galanya terserah kepada jawatankuasa pengurusan badan induk itu yang bakal membuat keputusan berhubung pemain di dalam The Bos Gaurus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 9:05 AM