PENGURUSAN sisa Pepejal membabitkan tujuh negeri. FOTO arkib NSTP
PENGURUSAN sisa Pepejal membabitkan tujuh negeri. FOTO arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Orang ramai yang gagal mematuhi peraturan pengasingan sisa pepejal bermula 1 Jun ini boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 sekiranya melakukan kesalahan tiga kali berturut-turut.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Hazilah Gumri berkata, penguatkuasaan itu dibuat terhadap semua premis dan isi rumah di tujuh negeri yang menerima pakai kata Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

"Tujuh negeri terbabit adalah Kuala Lumpur dan Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Perlis dan Pahang.

"Kita telah memberikan masa yang mencukupi untuk mendidik dan mempromosi masyarakat mengasingkan sisa pepejal sejak 1 September lalu dan penguatkuasaan kompaun akan dibuat bermula 1 Jun ini sekiranya masih ingkar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Taklimat Penguatkuasaan dan Pelaksanaan Pengasingan Sisa di Punca di sini hari ini.

Berdasarkan Akta 672, denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap penduduk yang enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 11:06 AM