BADRUL
BADRUL
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kebimbangan atlet pecut negara Badrul Hisyam Abdul Manap berikutan ketiadaan jurulatih Mohd Poad Md Kassim mengiringinya ke Kejohanan Olahraga Terbuka Taiwan menjadi kenyataan apabila pelari itu gagal menyerlah, semalam.

Badrul sekadar merekodkan 10.57 saat untuk menamatkan saingan di kedudukan keempat. Tetapi, kekecewaan Badrul itu terubat sedikit apabila seorang lagi pelari negara, Jonathan Nyepa dari Sarawak meraih pingat gangsa.

Acara riben biru dimenangi pelari Fiji Banuve Tabakaucoro yang merakamkan catatan 10.34s untuk emas, diikuti Shuhei Tada (Jepun) perak, 10.39s dan Jonathan, 10.55s.

Kegagalan Badrul itu mencetuskan rasa terkilan Poad kerana beliau yakin pelari kelahiran Melaka itu sebenarnya mampu mencatatkan masa lebih baik.

“Seperti ada yang tidak kena. Mungkin Badrul berlari dalam keadaan perut kosong kerana was-was dengan makanan disediakan yang menyebabkan dia tidak boleh berlari dengan baik.

“Catatan itu jauh daripada masa terbaik yang dilakukannya sebelum ke Taiwan.

“Mungkin tiada siapa yang memantau keadaan dia di sana selepas saya tidak boleh ikut bersama,” katanya sambil memberitahu beliau juga tidak dimaklumkan alasan tidak dibenarkan bersama anak didiknya itu.

Sebelum berlepas ke Taiwan Selasa lalu, Badrul meluahkan rasa bimbang dengan ketiadaan Poad bersamanya untuk kejohanan itu.

Malah, Badrul turut berasa kecewa apabila rakan sepelatih Khairul Hafiz Jantan yang juga pelari pecut kedua terbaik negara ketika ini juga tidak dibenarkan menyertai kejohanan itu.

Terdahulu, Badrul merekodkan 10.34s ketika di Terbuka Pahang dan meraih emas ketika beraksi di Terbuka Filipina dengan catatan 10.39s.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:27 AM