Serpihan yang ditemui pesawat pencari lewat petang tadi. - Foto Agensi
Serpihan yang ditemui pesawat pencari lewat petang tadi. - Foto Agensi
AP

Kaherah: Russia dan Mesir yakin pesawat EgyptAir yang terhempas pagi ini, disebabkan serangan pengganas dengan Menteri Penerbangan Awam Mesir berkata analisis setakat ini menunjukkan serangan pengganas adalah kemungkinan paling besar.

Menteri itu, Sherif Fathi, berkata kemungkinan serangan pengganas lebih tinggi berbanding masalah teknikal.

“Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan namun analisis menunjukkan kemungkinan disebabkan pengganas amat tinggi,” katanya.

Setakat ini pasukan pencari Greece menemui dua serpihan berwarna jingga dipercayai daripada pesawat Airbus A320 itu. Serpihan berkenaan ditemui 370 kilometer di selatan Pulau Crete.

Pesawat Airbus A320 Penerbangan MS804 dari Paris ke Kaherah itu dikatakan terhoyong-hayang dan membuat pusingan mendadak sebelum terhempas.

Ketika kejadian ia membawa 68 penumpang iaitu 30 rakyat Mesir, 15 Perancis, dua Iraq dan masing-masing seorang dari Algeria, Britain, Belgium, Kanada, Chad, Kuwait, Portugal, Arab Saudi dan Sudan.

Ketua Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia, Alexander Bortnikov, juga berkata serangan pengganas menjadi punca pesawat berkenaan terhempas.

Oktober lalu, pesawat penumpang Russia yang berlepas dari Mesir terhempas di Semenanjung Sinai, membunuh 224 orang dan Moscow yakin bom diletupkan dalam pesawat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 1:36 AM