PUTIN dan pegawainya berdiam seketika bagi memperingati mangsa nahas pesawat itu ketika bermesyuarat semalam.
PUTIN dan pegawainya berdiam seketika bagi memperingati mangsa nahas pesawat itu ketika bermesyuarat semalam.
AP

Moscow: Russia menawarkan ganjaran AS$50 juta (RM219 juta) untuk maklumat mengenai pengganas yang mengebom pesawatnya di Mesir, bulan lalu, selepas siasatan mengesahkan bahawa bahan letupan buatan sendiri sebagai punca kejadian itu.

Ketua Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB), Alexander Bortnikov turut menggesa orang Russia dan masyarakat antarabangsa bekerjasama supaya pengganas berkenaan dapat dikenal pasti identitinya, selain menegaskan ganjaran ditawarkan adalah dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab untuk kejadian itu dalam beberapa kenyataan bertulis selain mesej video serta audio dimuat naik ke Internet susulan kejadian.

“Menurut pakar kami, bahan letupan buatan sendiri bersamaan satu kilogram TNT meletup di atas pesawat menyebabkan kapal terbang itu terlerai di udara.

“Ini menjelaskan kenapa fuselaj bertaburan dalam kawasan yang luas. Saya sahkan ini memang perbuatan pengganas,” kata Bortnikov.

Katanya, ujian menunjukkan letupan itu dibuat di luar Russia, tetapi tidak mengulas lanjut.

Semua penumpang dan anak kapal - kebanyakannya pelancong Russia - terbunuh ketika Metrojet Airbus 321-200 itu terhempas di Semenanjung Sinai pada 31 Oktober lalu, 23 minit sejurus berlepas dari Sharm el-Sheikh.

Pesawat itu menuju ke St Petersburg, Russia.

Presiden Vladimir Putin berjanji pihak bertanggungjawab akan diburu ‘walaupun ke hujung dunia’.

“Kami tidak akan berhenti mencari mereka. Kami akan mencari mereka satu-persatu tidak kira di mana mereka berada atau bersembunyi.

“Walau ke hujung dunia, kami akan memburu dan menghukum mereka,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Russia bukan saja meneruskan kempennya di Syria, malah dipertingkatkan lagi supaya ‘penjenayah berkenaan tahu perbuatan mereka lambat-laun dibalas’.

Sementara itu, di Kaherah, kerajaan Mesir tidak mengulas perkara itu semalam, walaupun berita itu disiarkan di rangkaian televisyen kebangsaan.

Mesir sebelum ini menolak dakwaan Britain serta AS bahawa letupan kemungkinan besar punca kejadian.

Pegawai dan media pro-kerajaan kemudian mendakwa perkara itu sebahagian daripada konspirasi Barat terhadap Mesir yang memberi kesan negatif terhadap industri pelancongannya.

IS mendakwa serangan itu bagi membalas dendam terhadap Russia kerana kempennya di Syria dalam membantu Presiden Bashar al-Assad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 7:04 AM