AHMAD Bashah menyampaikan notis 5A kepada pemain tengah pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar. FOTO Syahid Sokri
AHMAD Bashah menyampaikan notis 5A kepada pemain tengah pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar. FOTO Syahid Sokri
Muhaamad Hafis Nawawi dan Syahid Sokri


Alor Setar: Penantian 27 bekas pemain bola sepak Kedah dan pengurusan skuad 'double treble' 2007-2008 yang dijanjikan kerajaan negeri untuk memiliki lot tanah akhirnya tertunai apabila mereka menerima notis 5A, malam tadi.

Penyampaian notis 5A iaitu pemberian lot tanah di Gajah Mati, Pokok Sena, disampaikan Menteri Besar Kedah merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Dewan Sri Mentaloon, di sini.

Ahmad Bashah berkata, pada malam ini kerajaan negeri sudah menunaikan janji kepada bekas pengurusan dan pemain ini untuk memberikan mereka lot tanah di atas kejayaan mereka muncul dengan membawa pulang koleksi tiga kejuaraan pada musim 2007-2008.

Menurutnya, pemberian lot tanah ini bagi menghargai sumbangan bekas pengurusan dan pemain ketika itu yang muncul juara liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

"Pemberian ini juga menjadi pemangkin semangat kepada pemain baru yang ada dalam pasukan Kedah ketika ini untuk menunjukkan prestasi sama dengan mencontohi semangat bekas pemain terbabit.

"Pemberian lot tanah itu boleh digunakan bekas pemain ini untuk membina kediaman di kawasan terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam dan Santai Bersama Pemain Kedah di Dewan Sri Mentaloon, di sini, tadi.

Skuad Kedah di bawah bimbingan jurulatihAzraai Khor Abdullah ketika itu mencapai kegemilangan mereka menyapu tiga kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2007 dan 2008.

Dalam perkembangan lain Ahmad Bashah berkata, KFA juga sedang merancang untuk membina akademi bola sepak di negeri ini.

"Akademi ini akan diberi nama ADAB iaitu Akademi Datuk Ahmad Basri bagi menghargai sumbangannya yang menaikkan nama pasukan bola sepak Kedah ketika dulu.

"Penubuhan akademi ini nanti akan dapat melatih dan melahirkan lebih ramai pemain di negeri dan apabila mereka keluar dari akademi itu nanti mampu membawa perubahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:59 AM