CHLOE
CHLOE
Ardini Sophia Sina


Amalan seks bebas dan bangga pamer tubuh badan memang sinonim dengan selebriti Hollywood tetapi tidak semua begitu.

Pelakon remaja, Chloe Grace Moretz , 19, dengan bangganya mengakui dia seorang feminis. Dia menentang seks bebas serta kurang senang dengan wanita yang suka mendedahkan tubuh badan mereka tanpa segan silu.

Dia pernah menolak tawaran berlakon satu filem kerana ada paparkan babak seks tetapi dia mempertahankan keputusannya berlakon sebagai pelacur remaja dalam The Equalizer kerana ada sebab. Baginya, karakter itu memang wujud dan bukan sengaja diadakan.

Atas prinsipnya itu pada Oktober 2014, dia disenaraikan majalah Time sebagai seorang daripada 25 remaja paling berpengaruh.

Baru-baru ini Chloe berani menyelar tindakan Kim memuat naik gambarnya tanpa seurat benang di laman sosial Twitter.

Katanya, sebagai orang berpengaruh seseorang itu sepatutnya mendidik masyarakat terutamawanita agar menjaga maruah diri.

“Saya tidak menyesal secara terang-terangan membangkang tindakan Kim Kardashian. Sebagai wanita yang lebih matang, dia sepatutnya mendidik remaja wanita agar tidak sewenang-wenangnya menayangkan tubuh kepada umum.

“Kita harus ingatkan mereka bahawa sebagai wanita, ada banyak perkara lagi yang kita boleh lakukan untuk menarik perhatian. Jangan sekali-kali mencuri tumpuan dengan menggunakan tubuh. Ini tabiat yang tidak sihat,” katanya.

Chloe akui semua wanita ingin kelihatan seksi dan dia tidak pernah menafikan perkara itu tetapi katanya, ada bahagian tertentu pada tubuh kita yang harus disembunyikan.

“Pada saya, biar masyarakat umum menilai kita pada tingkah laku dan bukan tubuh yang menggiurkan,” katanya.

Kata Chloe, walaupun usianya masih belasan tahun dia tidak pernah takut untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya.

Dia akui ramai kurang selesa dengan keberaniannya dan dia tidak ada masalah andai diajak berdebat. Dia juga tidak kisah sama ada umum bersetuju atau tidak dengan pendapatnya.

Walaupun ada yang mengecam dirinya kerana pendirian itu, ramai lagi yang mengagumi sikapnya yang tetap berpegang teguh kepada pendirian. Malah dia terbuka menerima komen dan maklum balas negatif.

Jika ada yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya, Chloe akan menjelaskan serta memberi fakta untuk setiap jawapan yang dia berikan. Setakat ini, Chloe tidak pernah menyerang pembenci (hater) walaupun mereka mengeluarkan kata-kata kesat.

“Kita tidak perlu membalas balik kata-kata negatif daripada pembenci. Mereka lakukan sedemikian hanya sebagai provokasi agar kita juga mengeluarkan perkataan kasar. Apabila kita lakukan sedemikian, mereka akan ubah situasi itu seolah-olah kita yang bersalah.

“Umum mengenali saya sebagai selebriti. Setiap masa mereka menanti saya melakukan kesilapan. Apabila perkara itu terjadi, pembenci mula memperbesarkan hal itu sekali gus mencalar imej.

“Walaupun komen mereka sebenarnya mengguris hati, saya akan tetap menggunakan perkataan sesuai. Saya tidak mahu imej yang selama ini saya jaga sekelip mata punah hanya kerana orang yang sentiasa berfikiran negatif,” katanya.

Memulakan karier seni ketika usia tujuh tahun pada 2004 melalui siri The Guardian, Chloe juga membuktikan dirinya berbakat. Baru setahun berlakon, lakonannya dalam The Amityville Horror berjaya melonjakkan namanya apabila dicalonkan merebut anugerah Artis Baru Terbaik.

Banyak membintangi filem dan drama remaja, kini Chloe mencabar diri dan melangkah keluar dari zon selesa apabila membintangi filem Bad Neighbours 2 yang memaparkan kehidupannya sebagai ketua sorotiti Kappa Nu.

Kata Chloe, kebanyakan watak yang dilakonkan sebelum ini adalah aksi dan karakter baik. Namun, menerusi filem terbaru ini, peminat dapat melihat dia menjadi remaja liar.

“Banyak perkara gila-gila yang saya lakukan dalam filem itu. Sukar untuk saya jelaskan tetapi sepanjang penggambaran, saya sangat seronok. Karakter itu sesuatu yang baru untuk saya. Seorang remaja yang suka berparti hingga mengganggu jirannya.

“Dalam filem ini, corak lakonan saya jauh berbeza daripada karakter yang pernah saya bawa sebelum ini. Bagaimanapun, ia tidaklah terlalu sukar. Pengarah hanya meminta kami berseronok dan itulah yang saya lakukan,” katanya.

Sebagai selebriti remaja, Chloe juga tidak terlepas daripada menjadi bahan gosip. Baru-baru ini gambarnya bersama Brooklyn Beckham, 17, tersebar luas dan mereka dikatakan bercinta.

Bagaimanapun, Chloe enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. Katanya, apa saja jawapan diberikan mengenai hubungannya dengan anak pasangan David Beckham dan Victoria itu belum tentu mereka akan mempercayainya.

“Kalau saya katakan kami bercinta, orang akan mempersoalkan kerana saya lebih tua daripada Brooklyn. Kalau saya katakan kami hanya bersahabat, pasti ada yang katakan gambar itu jelas menunjukkan kami rapat dan tidak kelihatan sebagai sahabat.

“Andai gambar saya dengan lelaki lain tersebar pun, mesti mereka akan katakan saya dengan lelaki itu. Sehingga kini saya tidak tahu cara menjelaskan isu seperti ini agar umum percaya dan berhenti bertanyakan soalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 5:03 AM