TETAP ada masa layan anak bermain.
TETAP ada masa layan anak bermain.
ANTARA babak dalam filem Ghost In The Shell lakonan Scarlett.
ANTARA babak dalam filem Ghost In The Shell lakonan Scarlett.
ANTARA babak dalam filem Ghost In The Shell lakonan Scarlett.
ANTARA babak dalam filem Ghost In The Shell lakonan Scarlett.
Ardini Sophia Sina


Aktres jelita Scarlett Johansson tidak terlepas daripada menjadi mangsa kecaman golongan pembenci apabila treler filem Ghost In The Shell dimuat naik ke laman sesawang termasuk YouTube.

Maklum balas negatif tidak henti-henti ditinggalkan pada ruangan komen video itu. Filem adaptasi daripada manga Jepun terbitan Jepun itu bagaimanapun disenaraikan antara karya yang dinanti-nantikan tahun ini.

Walaupun menerima kritikan teruk, Scarlett masih optimis dengan watak serta olahan jalan cerita yang ingin ditonjolkan dalam karya arahan Rupert Sanders.

Katanya, semua pelakon sama ada lama atau baru akan berhadapan dengan situasi itu setiap kali treler filem lakonan mereka dikongsikan pada umum.

“Ia bukan sesuatu yang menghairankan kerana golongan pembenci akan muncul dan masing-masing akan berhujah mengatakan karya itu sangat teruk.

“Saya juga ada membaca komen mereka mengatakan saya tidak sesuai melakonkan karakter Major. Mereka ingin melihat pelakon Asia membawakan watak itu,” katanya.

Bagi Scarlett, sukar untuk menilai sesebuah filem itu hanya dengan menonton treler kerana ia hanya satu peratus daripada hasil keseluruhannya.

“Apabila watak itu diberi kepada saya, sudah pasti saya terima dengan rasa gembira. Filem cereka sains itu mempunyai daya tarikan tersendiri dan mencabar saya sebagai pelakon. Merealisasikan watak adaptasi daripada animasi adalah sukar,” katanya.

Apapun katanya, golongan pembenci yang terus menerus bercakap buruk mengenai filem itu adalah salah satu cara mempromosikan filem itu secara percuma.

Katanya, pada era teknologi moden dan penggunaan media sosial, dengan mudah karya itu akan menjadi tular dengan pantas.

“Emosi individu pada masa kini terutamanya golongan muda tidak sama seperti dulu. Mereka mudah terpengaruh dan tidak mampu mengawal emosi.

“Masing-masing ingin menunjukkan kebijaksanaan mereka. Tanpa sedar, isu yang dibualkan itu akan tersebar di seluruh dunia,” katanya.

Apapun kata Scarlett, dia melihat perkara ini sebagai satu kelebihan buat pelakon serta pembikin filem. Generasi pada masa kini mudah menyuarakan pendapat menerusi laman sosial dan orang lain yang melihat pula terus sahaja menekan butang kongsi tanpa terlebih dulu menyelidik perkara itu.

“Bukankah perkongsian treler di laman sosial itu secara tidak langsung memberi promosi percuma buat filem berkenaan? Saya tidak ada masa untuk memikirkan masalah itu. Biarlah mereka terus hidup dengan cara mereka. Saya sedikit pun tidak terkesan.

“Saya yakin filem ini akan mendapat tempat di hati penonton. Pastinya peminat manga itu juga akan ke pawagam untuk melihat satu garapan animasi menjadi ‘hidup’ di layar perak,” katanya.

Terbiasa dengan pembabitan dalam filem aksi, Scarlett tidak berhadapan sebarang masalah melakonkan babak aksi dalam Ghost In The Shell.

Pelakon filem The Avengers itu sememangnya sangat menitikberatkan kesihatan dan stamina dalam kehidupan seharian.

Bagi Scarlett, mengekalkan stamina bukanlah rahsia besar dan seseorang itu hanya perlu bekerja keras dan berdisiplin untuk mencapai sasaran.

“Seiring dengan pertambahan usia, saya lebih gemar meletakkan fokus utama dalam setiap perkara yang dilakukan bagi memastikan kekal pada landasan.

“Apabila usia semakin meningkat, saya akan letakkan sasaran yang perlu dicapai pada hari itu. Contohnya saya ingin membakar 1,000 kalori dalam masa 30 minit maka saya harus bekerja keras agar dapat mencapai sasaran itu. Saya tidak hanya berhenti seketika dan kembali pada rutin senaman.

“Dalam filem Ghost In The Shell, saya memakai kostum ketat. Sebaik saja menyarungkan kostum itu dan mula berlakon, saya akan berpeluh. Kostum itu memang lencun dengan peluh. Saya anggap itu sebagai salah satu senaman. Dengan menanamkan intipati itu, saya tidak terlalu penat setiap kali tamat penggambaran,” katanya.

Sibuk dengan kerjaya, Scarlett tetap meluangkan masa bersama anaknya, Rose Dorothy Dauriac, 2, agar hubungan antara ibu dan anak itu kekal utuh. Dia tidak mahu Rose berasa ibunya lebih mementingkan pekerjaan berbanding dirinya.

“Saya memang letih tetapi mereka yang utama itu akan kekal seperti itu sampai bila-bila. Saya mahu Rose berasa bahawa dirinya penting. Mengekalkan perasaan itu bukannya mudah. Saya harus mengorbankan masa rehat untuk bermain bersama Rose.

“Rose suka menyanyi dan lagu yang menjadi kegemarannya adalah runut bunyi animasi Frozen, Let It Go. Saya akan menyanyi bersama-samanya. Aktiviti seperti itu pun sudah cukup bagi membina hubungan baik dengan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:05 AM