RADCLIFFE
RADCLIFFE
Ardini Sophia Sina


Andai peneraju siri filem Harry Potter, Daniel Radcliffe, 26, boleh dijual, Sunday Times Rich menganggarkan nilai jualannya kira-kira RM276 juta. Dengan nilai setinggi itu, sudah cukup untuk menampung kehidupannya walaupun hanya berparti sepanjang tahun.

Bagaimanapun, gaya hidup Radcliffe kelihatan tidak seperti bintang filem lain. Dia dianggap selebriti pelik kerana tidak terlalu membelanjakan wang untuk hidup mewah.

Populariti dan kejayaan diraihnya mengajar Radcliffe bijak menepis gosip, berhadapan dengan paparazi dan menghadiri bual bicara pada waktu pagi tanpa sempat bersarapan.

Katanya, ramai mengatakan remaja terkenal akan membesar menjadi orang yang lupa diri tetapi tanggapan itu tidak adil untuk mereka yang mula berlakon sejak kecil.

“Ada ramai anak seni yang bergiat sejak kanak-kanak membesar menjadi insan berguna. Lakonan saya dalam Harry Potter sudah cukup membuktikan kemampuan saya sebagai pelakon. Saya menjadi pelakon remaja yang berjaya tetapi membesar sebagai lelaki bertanggungjawab.

“Sebagai bintang filem, saya melihat pembabitan dalam Harry Potter sebagai permulaan yang baik dalam kerjaya. Selepas kejayaan itu, saya tidak akan dapat merasa keadaan itu dan hanya sedikit orang yang akan merasainya,” katanya.

Tidak mengkhususkan genre yang ingin dilakonkan, Radcliffe membawa pelbagai watak selepas siri Harry Potter. Dia pernah berlakon dalam filem seram The Woman In Black kemudian bertukar menjadi syaitan dalam filem Horns, usahawan dalam How To Succeed In Business Without Really Trying, lelaki keliru dalam kecenderungan seksual menerusi Kill Yours Darling, doktor (The Young Doctor’s Notebook) dan lelaki cacat (Victor Frankenstein).

Ia antara senarai karakter yang pernah dilakonkan Radcliffe hingga menjadi parodi dalam animasi The Simpsons.

Radcliffe akui tidak mempunyai minat tertentu dalam pemilihan watak. Baginya, dia menerima apa saja watak asalkan sesuai dan kelihatan mencabar serta menarik.

“Saya tidak mempunyai apa-apa syarat dalam lakonan. Ada yang pernah bertanya, kenapa saya memilih cerita yang mempunyai jalan cerita pelik. Bagaimanapun, saya tidak pernah menganggap naskhah itu sesuatu yang pelik. Ia sekadar cerita dan saya berminat berlakon dalam karya itu.

“Disebabkan saya sering menerima watak di luar kebiasaan, ramai menganggap saya aneh. Saya tidak kesah. Saya terima pandangan itu dengan hati terbuka. Lebih menarik andai seseorang memilih karakter unik jika dibandingkan terus menjadi adiwira kacak,” katanya.

Ada mengatakan raut wajah dan susuk tubuh Radcliffe tidak sesuai dijadikan watak utama dan berlakon dalam filem aksi. Namun, itulah yang membuatkan dia istimewa dan boleh memilih pelbagai watak tanpa mengkhusus dalam karakter tertentu.

Kata Radcliffe, dia belum bersedia menjadi perhatian ramai seperti ketika memegang watak Harry Potter. Buat masa ini dia lebih selesa terbabit dengan pembikinan filem ‘indie’. Katanya, ia lebih menarik dan mencabar.

Jika dalam Harry Potter Radcliffe menggunakan magis, dalam filem Now You See Me 2 dia menjadi ahli silap mata sebagai Walter Marby yang berperwatakan naif.

Katanya, pengarah mengatakan watak ini akan memusnahkan karakter yang sinonim dengan dirinya ketika terbabit dalam karya penuh magis Harry Potter.

“Kali ini saya hanya ahli silap mata yang naif. Ia berbeza dengan berpura-pura membayangkan kita mempunyai magis untuk mencederakan orang.

“Saya suka karakter Walter Marby. Saya hanya perlu menunjukkan wajah polos dan tidak bersalah tetapi sebenarnya dia tahu banyak perkara.

“Saya tidak dapat menjangka penerimaan peminat tetapi berharap ia diterima dengan baik,” katanya.

Radcliffe mengakui dia tidak lagi dapat membawa watak Harry Potter kerana itu adalah masa lalu. Bagaimanapun, dia akan terus menghiburkan peminat dengan membawa pelbagai watak.

Filem Now You See Me 2 sekuel pada karya yang ditayangkan 2013, bakal ditayangkan kepada umum pada 10 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:03 AM