Agensi

Jakarta: Peguam Negara Indonesia, H M Prasetyo berkata, segala persediaan untuk pelaksanaan hukuman mati ke atas 10 banduan sudah disiapkan dan tiada sebarang penundaan atau pembatalan mengenainya.

“Pelaksanaan hukuman mati adalah bukti konsistensi kerajaan mempertahankan undang-undang dan ia berkaitan dengan kewibawaan negara.

“Andai semua persiapan sudah sedia, kami akan segera melaksanakannya,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Jokowi di Jakarta, semalam.

Isu pelaksanaan hukuman mati diperkatakan setiap hari kerana sebahagian besar banduan yang menunggu detik terakhir hidup mereka adalah warga asing.

Setakat ini, Australia dan Brazil menunjukkan penentangan paling keras terhadap ketegasan Jakarta itu.

Prasetyo berkata, daripada 10 banduan yang dijadual berdepan dengan skuad penembak itu, empat masih belum tiba di Penjara Nusakambangan.

Katanya, dua daripada mereka masih di Bali dan masing-masing seorang di Madiun dan Jogjakarta.

“Pejabat Peguam Negara akan bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan, terutama mengenai persediaan lokasi dan pemindahan banduan,” katanya.

Menjelang pelaksanaan hukuman itu, Prasetyo berkata, banduan terbabit akan diasingkan dan didampingi pegawai agama mengikut kepercayaan masing-masing.

“Hukuman dijalankan serentak dengan setiap seorang pesalah berdepan dengan 10 penembak supaya tiada sesiapa diletakkan dalam keadaan menunggu giliran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:59 AM