ANGGOTA polis yang dibantu tentera mengawal banduan ketika kebakaran berlaku di penjara Malabero. - Antara
ANGGOTA polis yang dibantu tentera mengawal banduan ketika kebakaran berlaku di penjara Malabero. - Antara
Agensi

Jakarta: Satu kebakaran yang dimulakan oleh sekumpulan banduan yang merusuh di barat Indonesia menyebabkan lima orang terbunuh.

Polis berkata, kebakaran di penjara Malabero di Bengkulu, Sumatera, berlaku lewat Jumaat lalu selepas pegawai antidadah memasuki pusat tahanan berkenaan dan membawa keluar seorang pengedar dadah.

Menurut ketua polis wilayah itu, Brigadier Jeneral M Ghufron, tahanan yang memulakan kebakaran dipercayai berbuat demikian untuk menunjukkan sokongan terhadap pengedar terbabit yang didakwa menjalankan urusan jual beli dadah dari dalam penjara.

Lima banduan terbunuh dalam kebakaran itu, seorang dirawat sementara 252 yang lain dipindahkan ke Bentiring, sebuah lagi penjara di bandar sama.

Indonesia mempunyai undang-undang dadah antara paling tegas di dunia dan sering kali melaksanakan hukuman mati ke atas pengedar dan penyeludup, termasuk warga asing.

Pihak berkuasa negara itu meningkatkan usaha memerangi dadah selepas jumlah penagih di negara itu meningkat daripada 4.2 juta kepada hampir 6 juta tahun lalu.

Lebih 130 orang kini menanti hukuman mati di negara itu, kebanyakannya kerana jenayah dadah dan sepertiga daripada mereka warga asing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 11:09 AM