Melissa Saila
Melissa Saila

Nama Melissa Saila mula dikenali sebagai pelakon ketika zaman kanak-kanak melalui drama PJ Holdings, kemudian remaja dalam Cili Padi hinggalah dewasa dan kini bergelar pengarah.

Wanita yang mesra dengan panggilan Lis ini lasak dan kasar seperti lelaki dengan rambut pendek, mungkin kerana dibesarkan bersama empat abangnya.

Bagaimanapun, apabila berlakon dalam siri PJ Holdings, baru sikapnya berubah sedikit demi sedikit kerana karakternya harus berbaju kurung, bertocang dan banyak menangis.

Mempamerkan lakonan mantap, Lis dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik dan menerima hadiah percutian ke Indonesia ditemani ibunya.

Dalam percutian itu, Lis sempat bertemu pengarah filem terkenal Indonesia, Hendrik Ghozali dan ditawarkan berlakon.

Lis mula terdedah kepada lakonan apabila sering mengikuti ibunya menjalani penggambaran dan mula berlakon pada usia lima tahun dalam Perjanjian Syaitan, kemudian muncul dalam drama bersiri PJ Holding.

Lis sempat bersekolah sehingga tingkatan tiga di Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur sebelum berhenti kerana tidak tahan dengan cemuhan dan usikan rakan sekolah.

Sebelum nekad berhenti, Lis pernah beberapa kali berpindah sekolah, termasuk ke Sekolah Menengah Jalan Pasar.

Puas berlakon, Lis mula duduk di kerusi pengarah. Pada 1993, dia menetap dua tahun di Indonesia untuk menimba ilmu belakang tabir daripada sutradara, Teguh Karya. Drama pertama arahan Lis, Rombakan Kabinet mendapat pujian.

Filem pendek pertama arahannya, Putau VS Bak Pau mendapat pujian dan turut dipertandingkan di Festival Filem Antarabangsa pada 1999. Pada 2007, Lis menghasilkan Kongsi Gelap dan terpilih antara 10 karya terbaik di BMW Shorties Award.

Kini Lis mempunyai produksi sendiri, Kus Semangat Aktor Sdn Bhd yang banyak menghasilkan drama dan dokumentari. Antara yang menarik perhatian ialah dokumentari mengenai kisah hidup Biduanita Negara, Puan Seri Saloma yang disiarkan di TV1 setiap Ahad serta drama bersiri Anak Hero.

Supertele biopik Saloma arahannya yang dipecahkan kepada dua episod, Mencari Guruh dan Pandang Kasih mengundang kontroversi apabila paparan watak Allahyarham AR Tompel menimbulkan ketidakpuasan hati warisnya.

Selain berlakon, Lis minat me­nyanyi dan pernah menghasil­kan empat album, Melissa Saila, Nilai Cinta, Dunia Remaja dan Generasi. Lagu pertama dirakam ialah Mata Keranjang dengan bekas DJ radio terkenal, Noramin yang kuat memberi galakan kepada­nya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:02 AM