Kelana Jaya: Selepas Safee Sali, pengendali Harimau Malaya Dollah Salleh kini menaruh harapan tinggi kepada Norshahrul Idlan Talaha untuk menggegar, bermula dengan aksi separuh akhir pertama Piala AFF menentang Vietnam Ahad ini.

Pasangan Norshahrul di jentera serangan, Safee menamatkan kemarau jaringan di pentas antarabangsa sejak November 2012 apabila meledak gol pembukaan ketika menentang Singapura Sabtu lalu dan tumpuan kini terarah kepada penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Walaupun beraksi cemerlang dalam tiga aksi peringkat Kumpulan B di Singapura, Norshahrul atau mesra disapa Mat Yo masih belum meledak jaringan selepas kali terakhir menjaringkan gol untuk Malaysia ketika menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 pada Oktober tahun lalu.

“Dia masih mencari rentak, namun saya percaya dia akan memberikan yang terbaik. Saya ada berbincang dengan Mat Yo dan dia sering menjaringkan gol pada perlawanan penting.

“Harapan saya juga begitu, bermula di separuh akhir. Saya berharap namun pada masa sama tidak mahu dia tertekan.

“Seperti Safee yang menutup cerita negatif dirinya dengan gol menentang Singapura, saya turut berharap dia akan melakukan perkara sama,” kata Dollah.

Skuad negara yang tidak dapat menggunakan khidmat kapten Mohd Shukor Adan dan Mohd Amri Yahyah akan berlatih petang ini dengan Dollah berharap segala tekanan membelenggu anak buahnya sudah lenyap dan boleh memberikan fokus menghadapi aksi separuh akhir.

“Saya perlu pastikan pengganti Shukor dan Amri mengetahui peranan pemain berkenaan, terutama apa dilakukan Shukor dalam padang ketika permainan. Saya masih belum memutuskan pengganti mereka, namun sudah mempunyai bayangan dan akan memanfaatkannya dalam sesi latihan nanti,” katanya.

Dollah turut menjelaskan tiga pertahanan, Mohd Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli dan Zubir Azmi yang dilabelnya benteng terbaik berkemungkinan besar dikekalkan dengan Mohd Fadhli Shas atau Afif Amiruddin dilihat pilihan menggantikan posisi ditinggalkan Shukor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:47 AM