Kuala Lumpur: Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat menaruh keyakinan terhadap kemampuan Mohd Muslim Ahmad menggantikan kredibiliti kapten pasukan Shukor Adan dalam aksi getir separuh akhir Piala AFF, Ahad ini.

Walaupun baru berusia 25 tahun, Muslim dilihat taruhan terbaik pengendali negara Dollah Salleh untuk bergandingan dengan Mohd Fadhli Shas mengemudi benteng negara mengekang asakan Vietnam.

Malah kedua-dua pemain berkenaan pernah menjadi pertahanan tengah ketika Malaysia muncul juara Piala AFF buat kali pertama pada 2010.

Shukor bersama Amri Yahyah yang bertindak cemerlang ketika aksi terakhir Kumpulan B digantung satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning.

“Pada pandangan saya, Muslim mampu membimbing barisan pertahanan Ahad ini. Kita memang merasakan kehilangan Shukor dan Amri, namun saya harap pemain yang menggantikan mereka mampu memberikan sumbangan sama atau lebih lagi.

“Malah ada beberapa pemain senior lain seperti Safiq (Rahim), Safee (Sali) dan Norshahrul (Idlan Talaha) yang berupaya membimbing pasukan,” katanya.

Namun pada masa sama Khairul Fahmi turut memberikan tumpuan agar gawangnya tidak dibolosi kerana aksi separuh akhir membabitkan peraturan gol tempat lawan.

“Kami perlu menang tempat sendiri dan tidak boleh bolos, ia penting untuk aksi timbal balik minggu depan,” katanya.

Ketika menjuarai Piala AFF 2010, Malaysia turut menyingkirkan Vietnam di separuh akhir dengan menewaskan lawan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan mengikat lawan tanpa jaringan pada aksi timbal balik.

Sementara itu Muslim berkata, dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan rentak permainan pasukan selepas aksi menentang Singapura dan tidak kisah untuk bergandingan dengan sesiapa saja.

Bagaimanapun aksi mantapnya bergandingan dengan Fadhli ketika menyingkirkan Vietnam di separuh akhir empat tahun lalu, tidak boleh dijadikan sandaran kerana saingan pastinya berbeza kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 6:50 AM