KAMAL (kiri) bersama Seelan ketika melancarkan platform digital baru dikenali Ripple di Dewan Mercu Mustapha Kamal, semalam.
KAMAL (kiri) bersama Seelan ketika melancarkan platform digital baru dikenali Ripple di Dewan Mercu Mustapha Kamal, semalam.
Nabil Basaruddin

PETALING JAYA: Media Prima Bhd, kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia yakin transformasi segmen radio yang dilaksanakan bertepatan dengan sasaran menjadi syarikat kandungan utama digital dan dagang di Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Kamal Khalid berkata, hala tuju baru ini akan memberikan penyelesaian yang lebih bersepadu kepada pengiklan yang ingin berhubung dengan audiens di pelbagai platform berbeza.

“Kami akan terus membuka nilai aset sedia ada dengan memfokuskan strategi inovasi digital dan dagang dalam Kumpulan yang mana ia akan memperluas inisiatif e-dagang kami, Superdeals bagi tawaran kepada komuniti digital,” katanya pada majlis pelancaran Ripple di sini, semalam.

Ripple yang sebelum ini dikenali sebagai Media Prima Radio akan memberi tumpuan kepada segmen digital, penyiaran dan dagangan.

Ia bakal menyaksikan Ripple meneroka lebih banyak peluang melalui pelancaran tujuh aset digital baru seperti Dhia, Donna, Lunaria, The Laki, Likely, Chapters dan Wakeke yang boleh diakses melalui laman web serta laman sosial tersendiri.

Beliau berkata, Ripple menyasarkan untuk membuka lebih peluang kepada audiens secara kreatif dengan memanfaatkan data untuk interaksi yang lebih peribadi dan menjadi sebahagian daripada aktiviti digital harian.

“Transformasi segmen radio ini bertepatan dengan apa yang kami cuba lakukan bagi meningkatkan hubungan dengan audiens di pelbagai platform berbeza,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ripple di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Ripple, Seelan Paul dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Selain tujuh jenama baru itu, Ripple mempunyai empat siaran radio Fly FM, Hot FM, One FM dan Kool FM serta audio podcast Ais Kacang dan Superdeals.

Kamal berkata, optimis dengan pelan transformasi yang dilaksanakan, pihaknya yakin sumbangan perolehan segmen digital mampu meningkat dengan pertumbuhan dua digit bagi tahun kewangan 2018.

Katanya, beliau berharap usaha dilaksanakan pelbagai platform sama ada Ripple, tonton, Superdeals, NSTP dan rangkaian televisyen dapat menjadi pemangkin utama dalam mencapai perolehan digital yang memberangsangkan.

Pendapatan segmen digital Media Prima meningkat kepada RM44.8 juta untuk enam bulan terakhir pada 30 Jun 2018 dipacu oleh pendapatan pengiklanan digital yang lebih tinggi di semua platform.

Malah, Media Prima kini menduduki tempat ketiga di Malaysia dari segi capaian digital dan menyasarkan peningkatan lapan peratus kepada sumbangan pendapatan digital menjelang akhir tahun berbanding tiga peratus tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 3:59 AM