JOHAN
JOHAN
Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) kini menawarkan perkhidmatan penstriman over-the-top (OTT) popularnya, tonton secara percuma kepada pengguna di Malaysia.

Usaha itu dilihat sejajar dengan strategi transformasi perniagaan seluruh Kumpulan Media Prima untuk meningkatkan hasil melalui pengiklanan programatik iaitu salah satu segmen pendapatan digital yang paling pesat berkembang.

Ketua Pegawai Eksekutif MPTN, Johan Ishak berkata, perkara terbabit juga adalah berikutan pengumuman Media Prima untuk menggabungkan semua kandungan video dalam talian yang menggunakan perkhidmatan YouTube’s Player for Publisher.

Katanya, sebagai ganti, langganan tahunan tonton model penstriman video-atas-permintaan (VOD) akan berakhir pada 31 Ogos 2018 dan semua pengguna yang melanggan tonton VIP (pakej langganan berbayar tonton) pada tahun ini akan dibayar balik secara prorata dalam masa 90 hari.

“Model langganan VOD belum lagi matang di Malaysia dan selepas kajian yang teliti, kami memutuskan pendemokrasian kandungan tonton melalui pelbagai platform adalah strategi terbaik untuk mencapai potensi penuh syarikat.

“Ia akan memberi manfaat kepada semua yang akan membolehkan Media Prima untuk mencapai lebih ramai penonton manakala pengguna yang sudah biasa dengan platform YouTube dan Daily Motion pula berpeluang untuk menonton rancangan kegemaran mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Langkah berkenaan juga membolehkan tonton untuk menjangkaui lebih ramai penonton dan mengurangkan kos dengan memasukkan pemain video YouTube dan Daily Motion pada laman web dan platform mudah alihnya.

Selain itu, ia dapat menyediakan pengguna pengalaman tontonan lebih menarik dalam semua peranti serta menjana pendapatan lebih mampan melalui pengiklanan programatik yang dianggap sebagai instrumen penting kepada pengiklan bagi mencapai kumpulan sasar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:26 AM