Kuala Lumpur: Media Prima Berhad, syarikat media bersepadu terkemuka tempatan mencatatkan perolehan RM1.5 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) RM76.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Konglomerat media itu mencatatkan peningkatan satu peratus pada suku keempat berbanding suku ketiga dalam tempoh tahun kewangan yang dikaji.

Pengerusinya, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, kumpulan merekodkan penyusutan perolehan dan keuntungan lepas cukai masing-masing 13 peratus dan 65 peratus berbanding tahun sebelumnya akibat suasana pasaran tidak menentu.

“Terdapat sentimen pengguna yang agak lemah berikutan beberapa insiden tragik ke atas industri penerbangan kita yang mengakibatkan pengiklan lebih berhati-hati dalam tempoh berkenaan.

“Tahun 2014 juga berakhir dengan bencana banjir terburuk melanda negara dilihat memberi kesan ke atas prestasi syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Johan, kumpulan bagaimanapun kekal utuh dan merekodkan margin selepas cukai yang positif walaupun persekitaran operasi yang kompetitif.

“Pelaksanaan Skim Pemisahan Bersama (MSS) pada Disember 2014 adalah sebahagian daripada rancangan rasionalisasi dan konsolidasi kumpulan yang mana PAT kumpulan yang dicatatkan RM141.6 juta jika tidak ditolak dengan pelaksanaan MSS,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Amrin Awaluddin berkata, pihaknya sudah menjangka 2014 adalah tahun mencabar bagi syarikat, namun pihaknya mengambil beberapa pendekatan berkesan untuk menilai kecekapan dalaman sambil mengurus kos operasi secara lebih efektif.

“Segmen media cetak, NSTP mencatatkan peningkatan pembaca dengan keseluruhan 4.5 juta daripada 4.4 juta pada 2013, di samping menguasai sebahagian besar pasaran pengiklanan akhbar pada kadar 34.2 peratus.

“Akhbar Harian Metro, BH dan New Straits Times memiliki gabungan 6.6 juta pengikut, sekali gus meningkatkan populariti akhbar dalam kalangan pencari kandungan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 9:45 AM